KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan kepentingan negeri sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap rundingan berkaitan persempadanan negara, khususnya melibatkan isu Malaysia–Indonesia di Pulau Sebatik.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerajaan negeri terus dilibatkan secara konsisten dalam semua peringkat rundingan teknikal dan diplomatik bagi memastikan hak Sabah tidak terjejas.
Menurut beliau, penglibatan itu merangkumi wakil daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jabatan Peguam Besar Negeri serta Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
“Bagi memastikan kepentingan negeri sentiasa terpelihara, kerajaan negeri Sabah sentiasa dilibatkan dalam setiap peringkat rundingan,” katanya ketika menggulung perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, sebarang perubahan sempadan negeri tidak boleh dibuat tanpa persetujuan DUN, sekali gus menjamin kedudukan Sabah dalam sebarang keputusan berkaitan.
Dalam pada itu, Joniston menjelaskan isu sempadan darat di Pulau Sebatik telah dimuktamadkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025.
Tegas beliau, dakwaan kononnya berlaku penyerahan 100 hektar tanah kepada Indonesia adalah tidak tepat.
“Penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berasaskan kepada Boundary Convention 1891 yang menetapkan jajaran sempadan di sepanjang latitud 4°10' Utara,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan semakan teknikal bersama pada 1983 mendapati terdapat perbezaan antara jajaran di lapangan dengan garis latitud yang ditetapkan.
Sehubungan itu, kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula dilaksanakan pada 2019 menggunakan teknologi moden bagi memastikan ketepatan sempadan.
Menurutnya, penyelesaian penjajaran semula itu dibuat secara berpakej bersama kawasan Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, yang menyaksikan Malaysia memperoleh tambahan wilayah seluas 780 hektar.
“Keseluruhan proses ini dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa dan tidak melibatkan prinsip pampasan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata rundingan sempadan Malaysia–Indonesia masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, khususnya melibatkan kawasan intertidal di timur Pulau Sebatik serta beberapa kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) di sektor Sarawak–Kalimantan Barat.
“Rundingan antara Malaysia dan Indonesia masih berjalan bagi menyelesaikan perkara ini,” tambahnya.

