Sabah pertimbang subsidi bersasar susulan kenaikan harga minyak global
17:04 Apr 30, 2026  |  By SabahKini2
Sabah pertimbang subsidi bersasar susulan kenaikan harga minyak global

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, cadangan pelaksanaan subsidi itu bagaimanapun akan bergantung kepada dapatan dan syor jawatankuasa berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji keperluan melaksanakan subsidi bersasar bagi membantu sektor yang terkesan akibat kenaikan harga minyak global.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, cadangan pelaksanaan subsidi itu bagaimanapun akan bergantung kepada dapatan dan syor jawatankuasa berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, Kementerian Kewangan negeri akan mencadangkan rasionalisasi perbelanjaan sedia ada bagi memastikan pengurusan kewangan kerajaan dilaksanakan secara berhemat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

“Langkah ini penting bagi memastikan kelestarian kewangan negeri dalam jangka panjang tanpa menjejaskan rizab fiskal Sabah,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Dalam masa sama, Masidi berkata Sabah masih bergantung kepada Pinjaman Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan utama seperti jalan raya, sistem pembetungan, pengairan serta bekalan air yang memerlukan kos pelaburan tinggi.

Beliau memaklumkan jumlah pinjaman Persekutuan yang telah matang dan perlu dibayar balik ketika ini berjumlah kira-kira RM3.2 bilion.

Bagaimanapun, katanya, jumlah bayaran balik tahunan adalah sekitar RM220 juta sahaja.

“Kerajaan Sabah sentiasa membuat bayaran balik mengikut jadual dan merupakan ‘good paymaster’,” katanya.

Mengulas lanjut, Masidi berkata kerajaan negeri turut merancang beberapa langkah bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman, termasuk memperkukuh hasil negeri, mengoptimumkan kutipan sedia ada serta meneroka sumber pendapatan baharu melalui jabatan berkaitan.

Comment