JIM Labuan periksa 41 individu, enam warga asing ditahan
17:04 Apr 30, 2026  |  By SabahKini2
JIM Labuan periksa 41 individu, enam warga asing ditahan

JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen termasuk individu atau majikan yang melindungi pendatang tanpa izin (PTI).

LABUAN: Enam warga Filipina termasuk empat wanita dan dua kanak-kanak perempuan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan dalam satu operasi penguatkuasaan di dua penempatan warga asing, awal pagi tadi.

Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata operasi bermula jam 12.15 tengah malam hingga 2 pagi itu dijalankan hasil risikan serta maklumat awam.

“Hasil pemeriksaan ke atas 41 individu, enam warga Filipina ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, semua tahanan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan serta Depot Imigresen Labuan bagi siasatan lanjut.

Jelasnya, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen termasuk individu atau majikan yang melindungi pendatang tanpa izin (PTI).

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan.

Comment