Usul persendirian demi populis: Roger Chin wajar fokus peranan sebagai ADUN Kerajaan & Pengerusi Invest Sabah yang lemah
22:05 May 03, 2026  |  By SabahKini2
Usul persendirian demi populis: Roger Chin wajar fokus peranan sebagai ADUN Kerajaan & Pengerusi Invest Sabah yang lemah

Roger Chin adalah Adun kerajaan dilantik dan juga Pengerusi Invest Sabah. Apa perlunya dia kemukakan Usul Persendirian berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah? Dia hanyak nak populis. GLC Invest Sabah dah prestasi suram dengan segala macam masalah..

KOTA KINABALU – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Datuk Roger Chin, mengemukakan usul persendirian berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah baru-baru ini berakhir dengan penolakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Perkembangan ini bukan sahaja menimbulkan perdebatan dari sudut prosedur, malah membuka persoalan lebih besar mengenai keselarasan tindakan beliau sebagai wakil kerajaan.

Usul tersebut menyentuh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. Namun, pendekatan membawa usul tanpa penyelarasan dengan kerajaan negeri sebagai wakil Kerajaan dilihat tidak selari dengan strategi semasa, malah berpotensi mengganggu usaha yang sedang berjalan.

 

Hak Ada, Tetapi Realiti Politik Berbeza

Secara prinsip, mana-mana ADUN mempunyai hak untuk mengemukakan usul persendirian. Ini adalah sebahagian daripada amalan sistem Westminster yang memberi ruang kepada suara individu dalam Dewan.

Namun dalam realiti, hak tersebut tidak bersifat mutlak. Agenda Dewan dikawal oleh kerajaan, manakala Speaker mempunyai budi bicara penuh untuk menerima atau menolak sesuatu usul. Tanpa sokongan kerajaan, kebanyakan usul persendirian tidak akan sampai ke peringkat perbahasan.

Kes penolakan usul Roger Chin memperlihatkan hakikat ini dengan jelas — bahawa ruang perundangan tidak semestinya menjamin ruang politik apatah lagi beliau  seorang Adun dilantik Kerajaan.

Rundingan Sedang Berjalan- Roger tidak perlu pertikai tugas orang lain

Kerajaan Sabah memilih pendekatan berbeza dalam menangani isu tuntutan 40 peratus. Di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), fokus diberikan kepada rundingan berstruktur dengan Kerajaan Persekutuan, bukannya tekanan politik melalui Dewan.

Malah sebelum ini, dalam beberapa kenyataan media, Datuk Roger Chin dilihat secara terbuka mengkritik sesama rakan dalam blok kerajaan, termasuk Mustapha Sakmud, satu tindakan yang dilihat tidak selari dengan tanggungjawab sebagai ADUN lantikan yang sepatutnya mendukung pendirian kolektif kerajaan. Beliau secara tegas menyangkal kenyataan Mustapha berhubung dakwaan tiada rayuan dalam isu tuntutan 40% hasil Sabah, malah menyifatkan penjelasan tersebut sebagai mengelirukan rakyat. Apa yang Menteri JPM dari Sabah itu maklumkan usaha sedang dibuat dan sepatutnya beri peluang beliau melaksanakan kerjanya.

Namun pendekatan konfrontasi terbuka ini menimbulkan persoalan kerana Roger Chin bukan lagi Presiden Sabah Law Society, dan tidak lagi berada dalam kapasiti rasmi untuk membawa pendirian institusi guaman tersebut. Kepimpinan badan itu kini diterajui oleh Datuk Mohamed Nazim Maduarin bagi penggal 2025–2027, menjadikan tindakan beliau dilihat seolah-olah mengabaikan struktur semasa serta membelakangi SLS yang sedang menguruskan hal itu di Sabah. Beliau dilihat berlumba-lumba dengan SLS seolah-olah Presiden SLS tidak pandai bekerja.



Hak Perlembagaan sudah jelas

Kepimpinan negeri berulang kali menegaskan bahawa hak Sabah terhadap 40 peratus hasil tidak pernah dipertikaikan. Malah, langkah undang-undang telah diambil termasuk mendapatkan khidmat pakar perundangan antarabangsa bagi memperkukuh tuntutan.

Oleh itu, isu ini bukan lagi persoalan legitimasi, tetapi soal pelaksanaan. Membawa perkara yang sudah jelas ke Dewan untuk diperdebatkan dilihat sebagai tidak menambah nilai kepada usaha sedia ada.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 telah mengesahkan kegagalan pelaksanaan sebelum ini sebagai tidak sah, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah.

Dalam keadaan di mana tindakan susulan sedang berjalan, termasuk rundingan dan proses teknikal, usul di Dewan boleh dianggap bertindih serta tidak relevan. Malah, ia berisiko menyentuh prinsip sub judice, memberi asas kukuh kepada Speaker untuk menolak usul tersebut.

 

ADUN Kerajaan perlu selari, bukan bertindak sendiri

Sebagai ADUN lantikan kerajaan, Roger Chin berada dalam kedudukan yang memerlukan disiplin politik yang tinggi. Tindakan mengemukakan usul tanpa perbincangan dengan kepimpinan kerajaan boleh dilihat sebagai tidak selari dengan strategi rasmi.

Pendekatan sebegini juga membuka persepsi bahawa tindakan tersebut lebih bersifat populis — menonjolkan isu sensitif kepada umum tanpa mengambil kira implikasi terhadap rundingan sebenar.

Dalam landskap politik yang kompleks, tindakan tidak terkoordinasi mudah dimanipulasi dan berpotensi melemahkan kedudukan kerajaan sendiri.

 

Peranan Invest Sabah – skandal kehancuran

Dalam masa yang sama, perhatian turut tertumpu kepada peranan Roger Chin sebagai Pengerusi Invest Sabah baharu. Sebagai GLC utama negeri, agensi ini memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan dan merangsang ekonomi Sabah.

Invest Sabah berdepan cabaran tersendiri termasuk isu kredibiliti dan persepsi pelabur. Dalam keadaan ini, fokus kepimpinan seharusnya diberikan kepada:

  1. Pengukuhan tadbir urus
  2. Pemulihan keyakinan pelabur
  3. Pencapaian KPI ekonomi

Skandal yang melanda dalam Invest Sabah melibatkan CEOnya dan pelabur ‘scammer Vinod’  yang di bawa oleh Roger Chin ke Sabah hampir melumpuhkan Invest Sabah yang berprestasi malap.


Invest Sabah hampir lingkup kerana 'Scammer' antarabangsa

Penglibatan dalam polemik politik dan mengejar populariti hanya berisiko mengalih perhatian daripada tanggungjawab utama tersebut.

Penolakan usul ini menegaskan satu realiti penting — dalam politik pentadbiran, hak individu mesti diseimbangkan dengan strategi kolektif kerajaan.

Dalam isu sebesar tuntutan 40 peratus, kejayaan tidak bergantung kepada retorik Dewan, tetapi kepada kekuatan rundingan, ketepatan data dan keselarasan politik.

Langkah yang tidak selari bukan sahaja tidak membantu, malah berpotensi melemahkan keseluruhan usaha yang sedang dibina.

 

Usaha Kerajaan Sabah: Rundingan Berterusan dan Berhasil

Di sebalik polemik ini, kerajaan Sabah menegaskan bahawa usaha menuntut hak 40 peratus sedang berjalan secara aktif dan berstruktur.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, menegaskan bahawa kerajaan negeri kekal berpegang kepada Perkara 112C serta Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan sebagai asas tuntutan.

Beliau menolak tanggapan bahawa kerajaan berkompromi, sebaliknya menegaskan bahawa formula asal mesti dilaksanakan sepenuhnya termasuk tuntutan bagi “tahun-tahun yang hilang”.

Dari segi pencapaian, hasil rundingan menunjukkan peningkatan ketara selepas Sabah sekian lama hanya menerima RM26.7 juta setahun selama 48 tahun. Jumlah itu kini meningkat kepada RM125 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023, RM306 juta pada 2024 dan RM600 juta pada 2025.

Walaupun begitu, kerajaan menegaskan bayaran tersebut hanyalah interim dan tidak menjejaskan hak penuh Sabah berdasarkan formula 40 peratus.

 

Dari sudut pelaksanaan, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Persekutuan-Negeri serta mengadakan beberapa siri mesyuarat melibatkan perkongsian data, kaedah pengiraan dan pengesahan silang maklumat sejak 1974 hingga 2025.

Kerajaan Sabah juga menegaskan bahawa pembayaran bagi komponen hasil yang tidak dipertikaikan perlu disegerakan dan tidak boleh digantikan dengan perbelanjaan pembangunan Persekutuan.

Masidi turut menegaskan bahawa perjuangan ini merentasi perbezaan politik, dengan kerajaan dan pembangkang sehaluan dalam memastikan hak Sabah dilaksanakan sepenuhnya.

Sehubungan itu Kerajaan Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membuat bayaran segera bagi bahagian 40 peratus hasil Persekutuan yang tidak dipertikaikan, khususnya melibatkan cukai langsung oleh LHDN dan cukai tidak langsung oleh Kastam.

Masidi Manjun memaklumkan bahawa bagi tahun 2025, jumlah tuntutan dianggarkan mencecah RM3.019 bilion daripada keseluruhan RM7.547 bilion hasil Persekutuan yang dikutip di negeri itu. Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebahagian hasil tersebut jelas tidak dipertikaikan kerana data kutipan telah diterbitkan secara tahunan, justeru pembayaran awal wajar dilaksanakan tanpa menunggu keseluruhan rundingan dimuktamadkan.

Itulah apa yang Kerajaan GRS lakukan.

Rakyat Sabah pasti tidak lupa di Zaman Kerajaan Warisan Shafie Apdal menerima kadar Pemberian Khas hanya RM53.4 juta. Dokumen oktober 2019 membuktikan kerajaan Warisan bersetuju, menerima dan berterima kasih terhadap amaun tersebut, tanpa sebarang bantahan terhadap hak 40% hasil Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Hari ini Warisan berlagak kononnya dialah pembela tuntutan hasil 40 peratus namun fakta jelas mereka selama ini gagal.



ARTIKEL BERKAITAN- Peruntukan Khas Sabah: Shafie Apdal berbohong, salahkan hutang pusat, sedangkan Warisan sendiri setuju terima RM53.4 Juta

 

Comment