Sabah yakin sektor pelancongan mampu harungi kesan konflik global
15:05 May 04, 2026  |  By SabahKini2
Sabah yakin sektor pelancongan mampu harungi kesan konflik global

Beliau berkata, walaupun krisis berkenaan memaksa banyak perniagaan mengambil langkah tegas, industri pelancongan negeri masih menunjukkan prospek positif dengan keyakinan pelabur yang kukuh.

KOTA KINABALU: Sektor pelancongan Sabah dijangka kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Timur Tengah, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata, walaupun krisis berkenaan memaksa banyak perniagaan mengambil langkah tegas, industri pelancongan negeri masih menunjukkan prospek positif dengan keyakinan pelabur yang kukuh.

“Krisis ini akan mengubah cara kita beroperasi. Setiap sektor akan terkesan, jadi kita perlu menyesuaikan diri dan berinovasi,” katanya ketika merasmikan Sheraton Kota Kinabalu hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan Sabah sedang menyusun semula strategi bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi utama di peringkat global.

Antara langkah diambil termasuk memperluas kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa, membangunkan produk pelancongan premium, meningkatkan standard perkhidmatan, serta menganjurkan acara bernilai tinggi.

Beliau berkata, beberapa projek hotel baharu yang sedang dibangunkan akan menambah kira-kira 2,740 bilik kepada kapasiti sedia ada, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap industri pelancongan negeri.

Menurutnya, pembangunan hotel bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah memberi limpahan ekonomi kepada pembekal tempatan, restoran dan sektor berkaitan.

“Selain itu, ia akan meningkatkan profil Sabah sebagai destinasi utama serta menarik lebih banyak persidangan dan acara korporat,” katanya.

Hajiji berkata, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu yang menelan kos lebih RM300 juta adalah antara langkah penting dalam persiapan negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027.

Beliau yakin hotel itu akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan budaya dan warisan Sabah, selain menandakan kesiapsiagaan negeri untuk bersaing di peringkat global.

 

Comment