Balai Bomba Beluran Beri Pekerjaan Kepada 21 Pemuda Tempatan
09:04 Apr 24, 2018  |  By SabahKini2
Balai Bomba Beluran Beri Pekerjaan Kepada 21 Pemuda Tempatan

kewujudan Balai Bomba dan Penyelamat Beluran ini sekali gus telah memberikan peluang pekerjaan kepada pemuda tempatan

BELURAN: Pewujudan Balai Bomba dan Penyelamat Beluran memberikan peluang pekerjaan kepada 21 pemuda tempatan di daerah itu selepas diserap sebagai Pegawai Bomba Bantuan (PBB).

 Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Pauzi berkata balai bomba ini mempunyai perjawatan sebanyak 29 keanggotaan tetapi agak istimewa kerana kebanyakan anggotannya terdiri daripadanya PBB.


"Maka kewujudan Balai Bomba dan Penyelamat Beluran ini sekali gus telah memberikan peluang pekerjaan kepada pemuda tempatan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Bomba itu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di sini, hari ini

Menurutnya di negeri ini terdapat sembilan balai bomba dan penyelamat mempunyai anggota kalangan PBB antaranya di Lahad Datu, Semporna, Kudat, Kota Belud, Keningau, Papar dan Beaufort.

Mengenai pewujudan Balai Bomba Beluran, Nordin berkata pembinaan balai bomba itu dengan peruntukan kerajaan bernilai RM7 juta dimulakan pada 21 Sept 2015 dan mula beroperasi pada 29 Oktober 2017.

Beliau berkata dengan kewujudan balai ini, perkhidmatan kebombaan akan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih berkesan lagi.

Katanya masa bertindak  jentera bomba untuk tiba di tempat kebakaran atau penyelamatan akan menjadi lebih pantas, kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan dengan lebih cepat sekali gus mengelakkan kerugian yang besar.

Terdahulu, Ronald dalam ucapannya berkata dengan adanya balai bomba dan penyelamat ini dapat melindungi keselamatan penduduk yang berjumlah lebih kurang 110,000 orang di daerah ini, Telupid dan Paitan.

Katanya pembinaan balai bomba ini bagi memenuhi permintaan penduduk dan penting kepada fasa pembangunan di daerah ini.

Comment