480 liter petrol dirampas dalam operasi Op Tiris 4.0
15:05 May 04, 2026  |  By SabahKini2
480 liter petrol dirampas dalam operasi Op Tiris 4.0

KPDN Sabah dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu).

SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dan menyimpan petrol tanpa kebenaran dalam satu operasi di perairan Kampung Simunul, di sini, pada Sabtu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu).

Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki bahan kawalan terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 24 jeriken berisi petrol yang dianggarkan berjumlah 480 liter.

“Turut dirampas sebuah bot kayu, enjin sangkut jenis Yamaha Enduro berkuasa 40 kuasa kuda serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengangkutan bahan berkenaan,” katanya.

KPDN memaklumkan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4,705.60.

Kes berkenaan telah diserahkan kepada KPDN Cawangan Semporna dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, KPDN menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan.

“Tindakan tegas boleh dikenakan termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta jika sabit kesalahan.

Comment