KOTA KINABALU: Industri perhotelan di Kota Kinabalu berdepan cabaran susulan penurunan ketibaan pelancong asing, kata pemain industri.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan, Suresh Ramasamy, berkata keadaan itu dipercayai berpunca daripada ketidaktentuan global, termasuk konflik di Timur Tengah, selain perubahan trend perjalanan pelancong.
Katanya, pelancong kini semakin cenderung memilih destinasi baharu seperti Vietnam, sekali gus meningkatkan persaingan serantau.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Masidi Manjun.
Masidi berkata beberapa hotel di sekitar ibu negeri terjejas secara langsung, dengan kadar penginapan menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan MAH Sabah dan Labuan bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk menyesuaikan strategi pemasaran pelancongan dengan keadaan semasa.
Katanya, usaha perlu dipergiat bagi menarik pelancong domestik, khususnya dari kawasan berpendapatan tinggi seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Menurutnya, kumpulan ini mempunyai potensi besar untuk membantu merancakkan semula industri pelancongan negeri.
Dalam pada itu, Masidi turut menegaskan keperluan Sabah membangunkan produk pelancongan baharu dan unik bagi kekal berdaya saing di rantau ini.
“Dengan strategi yang tepat dan penawaran produk yang segar, Sabah masih mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

