SEMPORNA: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi di perairan Laut Balimbang, awal pagi tadi.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata kejadian kira-kira 4 pagi itu bermula apabila sepasukan anggota PPM Semporna mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan kemudian bertindak mengejar bot berkenaan sebelum suspek membuang beberapa objek ke laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Bot suspek seterusnya melarikan diri ke kawasan cetek di Laut Balimbang sebelum menuju ke arah Laut Tanjung Manimpa dan berjaya melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas objek yang dibuang menemukan dua karung guni berisi rokok dipercayai tidak bercukai.
Menurutnya, sebanyak 400 kotak rokok jenama LASA warna putih dianggarkan dirampas, membabitkan kira-kira 8,000 batang dengan nilai keseluruhan sekitar RM9,600.
Ahmad Amri berkata kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan serta pelanggaran undang-undang negara,” katanya.

