Kerajaan Sabah teliti impak ekonomi, keselamatan barter trade
18:05 May 05, 2026  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah teliti impak ekonomi, keselamatan barter trade

Mengulas lawatan tersebut, Hajiji berkata ia bertujuan meninjau kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta keadaan fasiliti di pos kawalan yang ditempatkan di pulau-pulau berkenaan.

SANDAKAN: Kerajaan Sabah akan meneliti cadangan untuk menghidupkan semula perdagangan tukar barang atau “barter trade” dengan selatan Filipina, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerima pelbagai cadangan berhubung perkara itu, namun kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita akan kaji cadangan ini. Banyak aspek perlu diambil kira, khususnya dari segi keselamatan dan manfaat kepada ekonomi serta peniaga tempatan,” katanya.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Majlis Tindakan Pembangunan Negeri.

Hajiji berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa pulau yang menempatkan pos keselamatan di perairan Sandakan, sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE).

Lawatan itu turut disertai Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun dan Komander ESSCOM Victor Sanjos.

Mengulas lawatan tersebut, Hajiji berkata ia bertujuan meninjau kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta keadaan fasiliti di pos kawalan yang ditempatkan di pulau-pulau berkenaan.

“Hasil tinjauan menunjukkan tahap kesiapsiagaan berada dalam keadaan baik dan fasiliti juga telah ditambah baik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan perkara berkaitan keperluan aset keselamatan telah dibawa ke perhatian Perdana Menteri, dengan beberapa peruntukan sudah disalurkan, walaupun masih memerlukan tambahan.

Katanya, pengukuhan aset keselamatan penting bagi memantau perairan negeri daripada sebarang ancaman pencerobohan.

Dalam pada itu, Hajiji menyuarakan keyakinan bahawa tahap keselamatan yang baik di pantai timur Sabah akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi, khususnya sektor pelancongan.

“Sudah lama tiada insiden dilaporkan di perairan kita. Ini memberi keyakinan kepada pelancong untuk datang, sekali gus merancakkan industri pelancongan,” katanya.

Beliau menambah, destinasi seperti Pulau Sipadan kekal menjadi tarikan utama dunia, justeru aspek keselamatan perlu terus diperkukuh bagi memastikan sektor itu terus berkembang.

Comment