SANDAKAN: Kerajaan disaran memperketatkan penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan sumber awam membabitkan agihan subsidi bahan api di Sabah.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Masiung Banah berkata, aspek tatakelola dan risiko salah laku perlu diberi perhatian serius, khususnya dalam pengurusan subsidi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
Menurut beliau, kegagalan melaksanakan penguatkuasaan secara menyeluruh boleh menyebabkan subsidi terus diseleweng dan diseludup ke negara jiran.
“Jika penguatkuasaan tidak dilaksanakan secara tuntas, subsidi bahan api berisiko tinggi diseludup keluar sekali gus merugikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena taklimat khas Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafri Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untung serta Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri.
Mengulas lanjut, Masiung berkata, dua kes penyelewengan diesel yang dilaporkan di Tawau baru-baru ini melibatkan lebih 40,000 liter bahan api bersubsidi bernilai lebih RM1.17 juta wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak.
Sehubungan itu, beliau menggesa agensi penguatkuasaan termasuk Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia meningkatkan keupayaan operasi dengan menambah anggota, bot peronda serta penggunaan dron, khususnya di laluan tidak sah di kawasan sempadan.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan memperkukuh pemantauan terhadap pegawai penguat kuasa di pintu masuk negara bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Tambahnya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenal pasti tiga risiko utama yang menyumbang kepada ketirisan subsidi sepanjang tempoh krisis bekalan global.
Antaranya termasuk kewujudan rangkaian dalaman melibatkan segelintir petugas di pintu masuk, selain faktor geografi Sabah yang mempunyai kawasan laut luas dan hutan paya bakau dengan banyak laluan tidak rasmi yang menyukarkan penguatkuasaan.
“Perbezaan harga bahan api dan minyak masak bersubsidi yang jauh lebih murah berbanding negara jiran turut menjadi tarikan utama kepada sindiket penyeludupan.
“Permintaan tinggi di negara jiran seperti Indonesia dan Filipina menyebabkan aktiviti penyeludupan barangan terkawal dari Sabah dan Sarawak terus berlaku,” katanya.

