KOTA KINABALU: Malaysia Digital Chamber of Commerce (MDCC) mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Masidi Manjun, bagi memberi taklimat berhubung penganjuran Forum Ekonomi Digital Malaysia ke-10 (MyDEF 10.0) yang dijadual berlangsung pada 11 Ogos ini.
Delegasi MDCC diketuai Pengerusi Emeritus, Dr Chris Daniel Wong, bersama Pengerusi Penganjur Alvis Loo, Pengerusi MDCC Sabah Datuk Seri David Sew serta Penasihat negeri Tony Hsing.
Dalam pertemuan tersebut, MDCC membentangkan visi dan objektif penganjuran MyDEF 10.0 sebagai platform nasional untuk mempercepatkan transformasi digital negara, selain menonjolkan Sabah sebagai pemacu utama ekonomi digital di Malaysia Timur.
Menurut Chris, antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha menjadikan Sabah sebagai hab ekonomi digital melalui pemanfaatan kedudukan strategik negeri serta pembangunan infrastruktur bagi menarik pelaburan serantau, perniagaan digital dan kerjasama teknologi.
“Perbincangan turut melibatkan penyelarasan dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya dalam memperkukuh pendigitalan, inovasi serta pertumbuhan ekonomi inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, aspek pembangunan bakat digital dan pemerkasaan belia turut diberi perhatian dengan membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda, syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terlibat dalam ekosistem ekonomi digital.
Selain itu, usaha memperkukuh ekosistem pelaburan dan inovasi melalui jaringan antara pelabur, firma modal teroka, agensi kerajaan dan usahawan turut dibincangkan bagi merangsang pertumbuhan perniagaan digital berimpak tinggi di Sabah.
Antara tema utama yang akan diketengahkan dalam MyDEF 10.0 termasuk kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pelancongan digital, pendigitalan PKS serta ekonomi biru.
Sementara itu, Masidi menyambut baik inisiatif berkenaan dan menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab ekonomi digital yang berdaya saing.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri bagi memastikan pembangunan mampan yang memberi impak menyeluruh kepada negeri.
Dalam pada itu, Alvis berkata MyDEF 10.0 bukan sekadar forum, sebaliknya platform strategik yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan inovator bagi menghasilkan tindakan konkrit ke arah memacu ekonomi digital negara.
Katanya, Sabah mempunyai potensi besar dan pihaknya komited untuk menyokong usaha negeri itu menjadi hab ekonomi digital terkemuka di rantau ini.

