Hajiji arah tindakan segera tangani kelewatan Pan Borneo Sabah
16:05 May 06, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji arah tindakan segera tangani kelewatan Pan Borneo Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tindakan segera di lapangan amat penting untuk menangani isu teknikal yang menjejaskan kemajuan projek berkenaan.

SUKAU: Kerajaan Sabah menegaskan keperluan penyelarasan lebih berkesan antara semua agensi berkaitan bagi memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri itu dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tindakan segera di lapangan amat penting untuk menangani isu teknikal yang menjejaskan kemajuan projek berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Pakej WP25 dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE), hari ini.

Menurutnya, projek WP25 yang melibatkan jajaran sepanjang 14.96km dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau kini mencatat kemajuan fizikal 12.35%, berbanding sasaran asal 15.30%.

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya.

Taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kemajuan kewangan projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu mencapai 11.52% setakat ini.

Projek berkenaan dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028.

Antara skop pembinaan termasuk persimpangan bertingkat, hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert.

Bagaimanapun, Hajiji dimaklumkan beberapa kekangan di tapak menjejaskan kemajuan kerja, termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah dan perobohan struktur sedia ada.

Masalah utiliti dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah, selain cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.

Dalam perkembangan sama, beliau turut diberi taklimat mengenai Pakej WP24 melibatkan jajaran sepanjang 15.88km dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh, yang mencatat kemajuan fizikal sekitar 15.60% setakat April lalu, juga sedikit lewat daripada jadual.

Sehubungan itu, Hajiji mengarahkan semua agensi berkaitan mempercepatkan penyelesaian isu di lapangan, khususnya melibatkan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti, bagi mengelakkan kelewatan berterusan.

Comment