KPDN tahan lelaki seleweng 1,350 litre diesel
16:05 May 06, 2026  |  By SabahKini2
KPDN tahan lelaki seleweng 1,350 litre diesel

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memaklumkan, tangkapan itu dilakukan hasil penyerahan kes oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kira-kira pukul 7.30 malam.

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan 1,350 liter diesel dalam satu serbuan di sebuah bengkel terbiar di Jalan Damai di sini, pada Selasa.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memaklumkan, tangkapan itu dilakukan hasil penyerahan kes oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kira-kira pukul 7.30 malam.

Menurut KPDN, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati sebuah lori 8 tan yang diubah suai dengan tangki tambahan dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan api berkenaan.

“Turut dirampas beberapa peralatan seperti tong drum besi, hos paip minyak dan mesin pam,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPDN berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk 1,350 liter diesel dianggarkan berjumlah RM104,256.25.

Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi membantu siasatan lanjut.

Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an kini ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, KPDN menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat.

“KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” menurut kenyataan itu.

Comment