LAHAD DATU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) melalui penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kestabilan negeri sentiasa terjamin.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada pemodenan sistem keselamatan menerusi penggunaan dron, radar serta analisis data raya (big data).
Menurutnya, penggunaan teknologi berkenaan mampu meningkatkan kecekapan pemantauan selain mempercepatkan tindakan terhadap sebarang ancaman keselamatan di kawasan terbabit.
“Seiring dengan SMJ 2.0, kita mahu agensi keselamatan memperkasakan penggunaan AI dalam operasi supaya sistem keselamatan bukan sahaja kukuh secara fizikal, tetapi juga dari segi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah SMJ sempena Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke ESSZONE di Dewan Perdana, di sini, pada Selasa.
Hajiji menegaskan, aspek keselamatan merupakan elemen penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan ekonomi negeri serta menarik keyakinan pelabur ke Sabah.
Katanya, tanpa jaminan keselamatan yang kukuh, aktiviti ekonomi boleh terjejas sekali gus memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri akan memastikan pembangunan di kawasan ESSZONE dilaksanakan secara holistik dengan mengimbangi keperluan keselamatan, ekonomi dan sosial,” katanya.
Menurutnya lagi, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu negeri merangkumi industri perikanan moden, pelancongan marin serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan.
Sabah yang mempunyai garis pantai melebihi 1,400 kilometer serta kedudukan strategik di Borneo dan Laut Sulu, katanya, memerlukan pengukuhan keselamatan berterusan bagi memastikan potensi pembangunan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Pelabur hanya akan datang jika yakin keselamatan perairan kita terjamin. Sebab itu pengukuhan keselamatan amat penting,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak kepada pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat setempat.
Beliau turut menggesa orang ramai khususnya di kawasan ESSZONE supaya sentiasa peka dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Peranan komuniti amat penting sebagai rakan strategik kepada pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan terus terpelihara,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memberi jaminan bahawa kebajikan anggota keselamatan akan terus diberi perhatian termasuk aspek perumahan, kemudahan dan logistik menerusi kerjasama kerajaan Persekutuan.
Program lawatan itu katanya menjadi platform penting bagi menilai kekuatan serta kelemahan sedia ada sebelum penambahbaikan dilaksanakan bagi memperkukuh keselamatan ESSZONE.

