Hajiji mahu pembangunan Semporna seimbang dengan kelestarian
17:05 May 07, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji mahu pembangunan Semporna seimbang dengan kelestarian

Hajiji berkata, Semporna kini mendahului beberapa inisiatif penting yang boleh dijadikan penanda aras terutama dalam sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan lestari.

SEMPORNA: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata Semporna bukan sekadar daerah pesisir pantai, sebaliknya menjadi pemangkin utama kepada transformasi ekonomi negeri menerusi agenda Ekonomi Biru di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, potensi besar dimiliki daerah itu mampu menjana limpahan ekonomi berskala besar sekiranya diurus secara strategik dan mampan.

“Dalam erti kata lain, kejayaan Semporna adalah kejayaan Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena lawatan kerjanya ke daerah itu bersempena Tinjauan Keselamatan ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) di Hotel Seafest, malam tadi.

Hajiji berkata, Semporna kini mendahului beberapa inisiatif penting yang boleh dijadikan penanda aras terutama dalam sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan lestari.

Menurutnya, Pulau Sipadan berjaya melaksanakan sistem kuota pelawat harian yang menjadi model pengurusan pelancongan mampan bagi mengekalkan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan ekonomi.

Katanya, di Taman Marin Tun Sakaran pula wujud sinergi antara pelancongan, pemeliharaan biodiversiti dan penglibatan komuniti setempat.

“Ini asas kepada pelancongan berasaskan komuniti yang mahu kita perluaskan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata kerajaan negeri turut mempergiat transformasi sektor akuakultur marin melalui penggunaan teknologi moden dan mesra alam.

Beliau berkata, usaha itu merangkumi peluasan zon akuakultur bersepadu berskala komersial, penggunaan teknologi sangkar laut moden, sokongan kepada pengusaha rumpai laut serta tarikan pelaburan dalam pemprosesan hiliran hasil laut.

Katanya, kerajaan juga sedang menaik taraf infrastruktur sokongan termasuk kemudahan jeti, rangkaian logistik, sistem rantaian sejuk dan kemudahan pelancongan bertaraf dunia bagi menyokong pertumbuhan sektor berkenaan.

“Semua ini penting bagi membuka akses lebih luas ke pasaran eksport antarabangsa,” katanya.

Hajiji turut menegaskan pembangunan di Semporna perlu dilaksanakan secara seimbang tanpa mengabaikan aspek kelestarian terutama di kawasan tumpuan pelancongan seperti Pulau Mabul dan Pulau Kapalai.

Katanya, kegagalan mengurus pembangunan dengan baik boleh menjejaskan aset semula jadi yang menjadi sumber ekonomi negeri.

“Kelestarian bukan beban, tetapi pelaburan masa depan,” katanya.

Beliau turut menyeru kepimpinan setempat memainkan peranan lebih aktif dalam penguatkuasaan, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti termasuk melibatkan golongan muda dalam Ekonomi Biru berasaskan inovasi.

Katanya, setiap pembangunan perlu berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian jangka panjang.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pembangunan yang hanya mengejar keuntungan jangka pendek sehingga menjejaskan masa depan negeri,” katanya.

Hajiji berkata, Semporna berpotensi muncul sebagai hab pelancongan marin bertaraf dunia, pusat akuakultur moden dan pengeluar utama makanan laut premium negara.

“Apa yang kita rancang hari ini adalah untuk generasi akan datang agar mereka mewarisi lautan yang kaya dengan peluang ekonomi dan kesejahteraan hidup,” katanya.

Comment