Semporna perlu diperkasa sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia
17:05 May 07, 2026  |  By SabahKini2
Semporna perlu diperkasa sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata Semporna mempunyai kelebihan luar biasa menerusi destinasi pelancongan terkenal seperti Pulau Sipadan selain kekayaan sumber marin dan perikanan.

SEMPORNA: Kerajaan Sabah akan memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh di Semporna termasuk penambahan fasiliti sedia ada bagi menjadikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan hab ekonomi biru utama negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata Semporna mempunyai kelebihan luar biasa menerusi destinasi pelancongan terkenal seperti Pulau Sipadan selain kekayaan sumber marin dan perikanan yang mampu menyumbang besar kepada ekonomi negeri.

Katanya, pembangunan bersepadu perlu diberi perhatian termasuk aspek kebersihan, kemudahan pelancongan dan infrastruktur di kawasan pulau.

“Semporna bukan sahaja terkenal dengan sektor pelancongan, malah sumber perikanan dan marinnya juga sangat hebat.

“Taklimat yang dibentangkan Pegawai Daerah turut merangkumi perancangan masa depan Semporna termasuk usaha menjaga kebersihan dan meningkatkan fasiliti seperti jeti di pulau-pulau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna di Pulau Mataking hari ini.

Lawatan itu diadakan sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) yang bermula di Sandakan pada Selasa sebelum diteruskan ke Lahad Datu dan Semporna.

Hajiji berkata, semua perancangan pembangunan di Semporna akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan daerah itu mampu muncul sebagai antara destinasi pelancongan terbaik di negara ini.

“Jika dipelihara dengan baik, sektor pelancongan di Semporna mampu menjadi khazanah tidak ternilai bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga Malaysia.

“Kita perlu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan kemudahan dan segala keperluan selaras dengan pembangunan pelancongan di Semporna,” katanya.

Mengulas potensi ekonomi biru, beliau berkata sektor itu menjadi antara agenda utama dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi meningkatkan hasil negeri dan taraf ekonomi rakyat.

“Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam tempoh lima tahun akan datang dan diharap ia menjadi aktiviti ekonomi baharu yang mampu meningkatkan hasil negeri serta pendapatan rakyat setempat,” katanya.

Dalam lawatan sama, beliau turut mengadakan tinjauan ke gugusan pulau sekitar Semporna bagi melihat sendiri tahap keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah selain meninjau keadaan pos kawalan keselamatan di pulau terbabit.

Hajiji turut melawat Pulau Sipadan dan mendengar taklimat ringkas daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan semasa di pulau berkenaan sebelum menghadiri majlis peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.

Comment