Polis rampas lebih 323kg syabu, fentanyl dalam operasi di Sabah dan Sarawak
17:05 May 07, 2026  |  By SabahKini2
Polis rampas lebih 323kg syabu, fentanyl dalam operasi di Sabah dan Sarawak

Beliau berkata di Sabah, dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berasingan pada 21 April dan 1 Mei lepas hasil kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

TAWAU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kenderaan terpakai untuk menyembunyikan bahan terlarang sebelum diedarkan ke Sabah menerusi dua operasi berasingan di Sabah dan Sarawak.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata operasi dikenali sebagai Op Hymenoptera dan susulan Op Coleoptera itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM18.79 juta serta penahanan empat lelaki tempatan termasuk ketua sindiket.

Beliau berkata di Sabah, dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berasingan pada 21 April dan 1 Mei lepas hasil kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

“Dalam serbuan pertama di Batu 15, Jalan Apas, polis menahan dua suspek bersama sebuah Toyota Harrier sebelum menemukan 128 paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 130.60 kilogram.

“Serbuan kedua dilakukan ke atas dua kenderaan iaitu Nissan Sylphy dan Toyota Camry di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan 85 bungkusan syabu seberat 90.41 kilogram dan 488 bungkusan cecair disyaki fentanyl seberat 0.98 liter dalam Nissan Sylphy, manakala pemeriksaan lanjut ke atas Toyota Camry menemukan 99 bungkusan syabu seberat 102.90 kilogram.

Hussein berkata jumlah keseluruhan rampasan di Sabah membabitkan 323.91 kilogram methamphetamine dan 0.98 liter fentanyl dengan anggaran nilai RM16.34 juta.

“Dadah ini boleh memudaratkan kira-kira 1.58 juta pengguna,” katanya.

Beliau berkata sindiket dipercayai aktif sejak Januari lepas dengan modus operandi menggunakan kenderaan terpakai serta ruang tersembunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, seorang suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah manakala seorang lagi ahli sindiket, dengan kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain.

Menurut beliau, kedua-dua suspek telah didakwa di mahkamah semalam.

Dalam operasi sama, polis turut menyita aset bernilai RM34,000 termasuk sebuah Volkswagen Passat, motosikal Yamaha Y16ZR dan wang tunai RM8,000.

Sementara itu, Hussein berkata susulan Op Coleoptera di Sarawak pada 2 Mei lepas, JSJN menahan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan di Miri.

Beliau berkata pemeriksaan di dua rumah berjaya merampas wang tunai RM820,000 selain menyita beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes G-Wagon Brabus, dua Ford Mustang dan sebuah Toyota Harrier.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun tahun lalu dengan modus operandi menyeludup bekalan dadah menggunakan pelbagai kaedah termasuk penghantaran kontena melalui laluan laut sebelum diedarkan ke Sabah, Sarawak dan pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan sitaan bagi kes di Sarawak dianggarkan bernilai RM2.42 juta dan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Comment