TUARAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar kegiatan menyimpan minyak diesel tanpa permit apabila lebih 8,000 liter bahan api itu ditemui dalam serbuan di sebuah stor premis kuari di Kampung Kindu, Jalan Tuaran.
Serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu dijalankan oleh sepasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Tuaran hasil risikan selama tiga hari terhadap premis berkenaan.
Ketua Cawangan KPDN Tuaran, Fredlee Sintau berkata, pemeriksaan mendapati kira-kira 8,155 liter diesel disimpan dalam sebuah skid tank tanpa sebarang lesen atau permit sah.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk barang kawalan itu dianggarkan RM54,093.10.
“Siasatan awal mendapati premis terbabit gagal mengemukakan lesen atau permit sah bagi penyimpanan barang kawalan berjadual.
“Seorang pekerja turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata, KPDN akan terus mempergiatkan Ops Tiris 4.0 bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini.
“Kita tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

