PPM Sabah rampas kosmetik tanpa permit bernilai lebih RM360,000
21:05 May 11, 2026  |  By SabahKini2
PPM Sabah rampas kosmetik tanpa permit bernilai lebih RM360,000

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi khas itu dijalankan kira-kira 8.05 pagi hasil risikan dan pemantauan pihaknya.

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas pelbagai produk kosmetik tanpa dokumen sah yang dipercayai dibawa masuk dari Filipina menerusi sebuah feri di perairan daerah ini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi khas itu dijalankan kira-kira 8.05 pagi hasil risikan dan pemantauan pihaknya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas feri terbabit menemukan kira-kira 70 kotak mengandungi 24,176 unit pelbagai jenis produk kosmetik.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM360,986.

“Siasatan awal mendapati semua produk kosmetik itu dipercayai dibawa dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menuju ke Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua barangan terbabit tidak mempunyai dokumen atau permit sah daripada Biro Kastam Filipina.

Katanya, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi dan pemantauan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta kemasukan barang tanpa cukai.

Operasi itu turut disertai Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Comment