KINABATANGAN: Sekumpulan 11 ekor gajah Pygmy Borneo termasuk seekor anak berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, di sini.
Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku pada 9 Mei lalu apabila kumpulan gajah berkenaan gagal keluar dari kolam berikutan keadaan tebing yang curam.
Menurut JHL, insiden itu dikesan selepas menerima maklumat daripada pihak ladang sebelum pasukan penyelamat dari JHL daerah Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bertindak membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat bagi membolehkan kawanan gajah keluar dari kolam berkenaan.
“Kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” katanya.
Dalam pada itu, JHL mencadangkan agar kolam terbiar tersebut ditutup atau dipasang dengan langkah keselamatan bersesuaian bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
JHL turut merakamkan penghargaan kepada pihak ladang serta orang awam yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dijalankan dengan segera.
Menurutnya, kerjasama antara agensi kerajaan, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam memastikan kelestarian serta keselamatan hidupan liar, khususnya spesies ikonik Sabah seperti gajah Pygmy Borneo.

