Tengku Mahkota Pahang tiba di Sabah, ketuai Ekspedisi Mahkota Borneo
21:05 May 11, 2026  |  By SabahKini2
Tengku Mahkota Pahang tiba di Sabah, ketuai Ekspedisi Mahkota Borneo

Keberangkatan tiba baginda pada jam 2.08 petang disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Isyak Ayub bersama pegawai kanan istana.

KOTA KINABALU: Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengadakan pertemuan bersama Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 2.08 petang disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Isyak Ayub bersama pegawai kanan istana.

Tengku Hassanal kemudian menandatangani buku lawatan rasmi sebelum diiringi ke Pejabat Yang Dipertua Negeri Sabah bagi sesi pertemuan bersama Tun Musa.

Pertemuan lebih sejam itu difahamkan menjadi medan pertukaran pandangan dan idea berkaitan pelbagai perkara termasuk hubungan antara negeri dan pembangunan semasa.

Selepas sesi berkenaan, baginda dijadual berangkat ke Kundasang untuk mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo yang berlangsung bermula hari ini hingga 13 Mei.

Menerusi ekspedisi itu, Tengku Hassanal dijadual mendaki Gunung Kinabalu esok bersama anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia serta pegawai pengiring daripada Polis Diraja Malaysia.

Ekspedisi berkenaan dilihat mencerminkan semangat kepimpinan, disiplin dan ketahanan fizikal yang sentiasa diterapkan baginda, selain memperkukuh hubungan strategik antara Pahang dan Sabah.

Pada masa sama, program itu turut diharap dapat menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Comment