Tengku Mahkota Pahang ketuai ekspedisi ke puncak Gunung Kinabalu
21:05 May 12, 2026  |  By SabahKini2
Tengku Mahkota Pahang ketuai ekspedisi ke puncak Gunung Kinabalu

Baginda mengetuai rombongan membabitkan 56 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia serta pengiring rapat Polis Diraja Malaysia.

KUNDASANG: Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah hari ini memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu sempena Ekspedisi Mahkota Borneo yang berlangsung selama dua hari satu malam.

Pendakian bermula pada jam 8.05 pagi selepas bacaan doa selamat dipimpin Mufti Sabah, Bungsu Aziz Jaafar, di Pondok Timpohon.

Taklimat pendakian pula disampaikan Ketua Stesen Substesen Panalaban, Julaimin Kamin.

Baginda mengetuai rombongan membabitkan 56 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia serta pengiring rapat Polis Diraja Malaysia.

Ekspedisi itu dilihat mencerminkan semangat kepimpinan, ketahanan fizikal dan disiplin yang diterapkan baginda dalam kalangan generasi muda serta pasukan keselamatan negara.

Dengan ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut, Gunung Kinabalu merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.

Semua peserta dijadual bermalam di Panalaban sebelum meneruskan pendakian ke puncak gunung berkenaan esok.

Gunung Kinabalu terletak dalam kawasan Taman Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan kini menjadi kawasan teras Geopark Global UNESCO Kinabalu.

Comment