KOTA KINABALU: Sabah menerima siling pembangunan berjumlah RM12.02 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, sekali gus menjadi peruntukan terbesar pernah diterima negeri itu.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata peruntukan berkenaan bukan sekadar membabitkan soal perbelanjaan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan berkesan dan memberi impak kepada rakyat di seluruh negeri.
Beliau berkata, industri pembinaan bakal memainkan peranan penting dalam transformasi pembangunan Sabah yang kini menyaksikan momentum kukuh pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, kemudahan kesihatan, utiliti dan jaringan digital.
“Lebuh Raya Pan Borneo khususnya menggambarkan momentum ini. Ia bukan sekadar mewujudkan hubungan, malah membuka peluang ekonomi dan meningkatkan akses di seluruh negeri.
“Pusat bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau sedang berkembang menjadi hab moden dan dinamik yang mencerminkan Sabah baharu yang sedang kita bina,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, pada majlis perasmian International Construction Week (ICW) Borneo dan BuildXpo di sini, hari ini.
Hajiji berkata, berdasarkan cabaran pelaksanaan sebelum ini, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan penyampaian projek, memperkukuh koordinasi dan memastikan setiap projek dilaksanakan dengan nilai berkekalan.
Katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, fokus akan diberikan kepada strategi memperkukuh jaringan perhubungan menerusi pembangunan rangkaian pengangkutan, sistem logistik dan pelabuhan bagi memacu perdagangan serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan mampan dan berdaya tahan supaya kemajuan semasa tidak menjejaskan peluang generasi akan datang.
“Strategi lain termasuk memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik, menterjemahkan pembangunan kepada penambahbaikan nyata dalam kehidupan rakyat Sabah serta meningkatkan standard industri menerusi tadbir urus lebih baik, keupayaan lebih kukuh dan akauntabiliti lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, ICW Borneo menjadi platform penting yang menghimpunkan idea, kepakaran dan kerjasama strategik antara kerajaan, pelabur serta pemain industri.
“Sabah mengalu-alukan kerjasama semua pihak. Peluang yang ada amat besar meliputi infrastruktur, pembangunan bandar dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan.

