KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melakukan rombakan kepimpinan terbaharu menyaksikan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Seri Masidi Manjun dilantik sebagai salah seorang daripada lima Timbalan Pengerusi gabungan itu.
Pelantikan tersebut dibuat susulan pengunduran United Sabah National Organisation (Usno) daripada GRS, yang sebelum ini diwakili Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Timbalan Pengerusi.
Empat lagi Timbalan Pengerusi GRS kekal, iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Seri Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Datuk Liew Yun Fah; serta Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin.
Dalam pada itu, jawatan Setiausaha Agung GRS kini disandang oleh Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang sebelum ini merupakan Timbalan Setiausaha Agung gabungan berkenaan. Masidi sebelum ini memegang jawatan tersebut.
GRS turut mengekalkan Joniston Bangkuai sebagai Ketua Penerangan gabungan itu.
Dua muka baharu turut mengisi struktur kepimpinan utama GRS, apabila Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Bendahari Agung baharu menggantikan Datuk Ardino Diris.
Sementara itu, Setiausaha Agung PGRS, Datuk Razali Razi dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung GRS yang baharu menggantikan Armizan.
Rombakan ini dilihat sebagai usaha memperkemas struktur kepimpinan GRS susulan perubahan dalaman gabungan berkenaan.

