Tengku Mahkota Pahang selesai ekspedisi tiga hari di Gunung Kinabalu
15:05 May 13, 2026  |  By SabahKini2
Tengku Mahkota Pahang selesai ekspedisi tiga hari di Gunung Kinabalu

Rombongan tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat pada 5.05 pagi sebelum meneruskan pendakian ke Kilometer 8.5 pada 6.37 pagi dan tiba di puncak Gunung Kinabalu pada 8.45 pagi.

KUNDASANG: Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 8.45 pagi tadi sempena Ekspedisi Mahkota Borneo yang berlangsung selama tiga hari.

Penolong Pengurus Taman, Unit Penyelamatan dan Krisis Bahagian Operasi dan Penguatkuasaan Taman-Taman Sabah, Julaimin Kamin, berkata Tengku Hassanal bersama rombongan memulakan pendakian dari Panalaban pada 3.07 pagi selepas tiba di lokasi penginapan itu petang semalam.

Katanya, rombongan tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat pada 5.05 pagi sebelum meneruskan pendakian ke Kilometer 8.5 pada 6.37 pagi dan tiba di puncak Gunung Kinabalu pada 8.45 pagi.

“Keadaan cuaca sepanjang pendakian sangat baik dengan suhu sekitar 9 darjah Celsius dan proses pendakian berjalan lancar serta selamat,” katanya kepada Bernama.

Menurut Julaimin, Tengku Hassanal dan rombongan meluangkan masa hampir sejam di puncak sebelum turun semula ke Panalaban pada 9.30 pagi.

Semalam, baginda mengetuai pendakian bermula dari Pondok Timpohon pada 8.05 pagi sebelum tiba di Panalaban pada 3.45 petang.

Sepanjang laluan pendakian, terdapat tujuh pondok rehat iaitu Pondok Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Paka dan Waras.

Gunung Kinabalu berketinggian 4,095.2 meter dari aras laut merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan terletak dalam kawasan Taman Kinabalu.

Taman berkeluasan 754 kilometer persegi itu diwartakan pada 1964 sebagai kawasan konservasi biodiversiti dan menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama di Malaysia.

Kini, kawasan itu turut diiktiraf sebagai kawasan teras Geopark Global UNESCO Kinabalu yang meliputi Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau.

Comment