KPDN Semporna rampas 60 gelen petrol dipercayai cuba diseleweng
15:05 May 13, 2026  |  By SabahKini2
KPDN Semporna rampas 60 gelen petrol dipercayai cuba diseleweng

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima serahan kes rampasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

SEMPORNA: Cubaan menyeleweng sebanyak 1,520 liter petrol di kawasan atas jambatan Kampung Air, di sini berjaya dipatahkan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam.

Rampasan tanpa tuan itu membabitkan 60 gelen berisi petrol dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,600.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima serahan kes rampasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu, rampasan berkenaan melibatkan 56 gelen putih yang mengandungi 1,400 liter petrol serta empat gelen biru berisi 120 liter petrol yang dipercayai cuba diselewengkan.

“Susulan itu, KPDN Semporna membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi perundangan ditetapkan dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Menurut kementerian itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya sehingga RM5 juta,” katanya.

Comment