KOTA KINABALU: Seramai 38 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi beberapa siri operasi di Kudat dan Tawau, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tangkapan dibuat menerusi Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar hasil pemeriksaan terhadap puluhan warga asing di kedua-dua lokasi berkenaan.
Menurutnya, di Kudat, seramai 20 individu diperiksa sebelum 15 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat pas.
“Tangkapan di Kudat melibatkan warga Filipina membabitkan tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya.
Sementara itu, di Tawau, operasi sama memeriksa 56 individu sebelum 23 warga asing ditahan atas kesalahan imigresen.
“Tangkapan di Tawau melibatkan 10 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa dan dua kanak-kanak perempuan warga Filipina.
“Turut ditahan seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa warga Indonesia serta seorang lelaki warga India,” katanya.
Beliau berkata, semua yang ditahan telah dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Jelasnya, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa dipatuhi.

