Abdul Halim dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu
16:05 May 13, 2026  |  By SabahKini2
Abdul Halim dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu

Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM.

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Abdul Halim Aman, memulakan tugas secara rasmi hari ini selepas pelantikannya berkuat kuasa 13 Mei.

Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Abdul Halim atas pelantikan itu serta menyifatkan beliau memiliki kredibiliti dan pengalaman dalam bidang perundangan yang diyakini mampu memperkukuh SPRM.

“Insya-Allah, saya percaya dengan kredibiliti dan pengalaman beliau dalam jalur perundangan akan terus memberikan nilai tambah, memperkukuh peranan serta mengangkat kedudukan SPRM sebagai badan penguat kuasa yang berprestij di dalam dan luar negara. Selamat berkhidmat!” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau turut berkongsi gambar penyerahan watikah pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu.

Dalam pada itu, Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada Azam Baki atas sumbangan dan jasa sepanjang menerajui SPRM, yang disifatkan banyak membawa kejayaan serta reformasi dalam memperkukuh agensi berkenaan.

“Jasa bakti (Azam) akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini,” katanya.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan memaklumkan Abdul Halim telah melapor diri dan memulakan tugas rasmi hari ini.

Beliau dilantik secara kontrak selama dua tahun sehingga 12 Mei 2028.

SPRM turut menzahirkan ucapan tahniah dan berharap pelantikan itu akan terus memperkukuh usaha integriti, tadbir urus serta pembanterasan rasuah negara.

Comment