MAFFI perkenal penanaman padi tanah kering di kawasan rumah
23:05 May 18, 2026  |  By SabahKini2
MAFFI perkenal penanaman padi tanah kering di kawasan rumah

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu dilihat berpotensi besar sebagai alternatif kepada penanaman padi sawah terutama di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan mencukupi.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) memberi fokus kepada pembangunan tanaman padi tanah kering sebagai langkah memperkukuh sekuriti makanan negeri.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu dilihat berpotensi besar sebagai alternatif kepada penanaman padi sawah terutama di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan mencukupi.

Menurut beliau, kementerian sedang merancang memperkenalkan kaedah penanaman padi tanah kering secara lebih meluas termasuk menggunakan pasu dan polybag di kawasan sekitar rumah.

“Kita sedang bercadang memperkenalkan tanaman padi tanah kering yang boleh diusahakan di keliling rumah termasuk dalam pasu atau polybag.

“Sekiranya kajian varieti yang sesuai selesai, kita akan lancarkan dalam masa terdekat,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Kaamatan 2026 di Kota Kinabalu, pada Ahad.

Jamawi berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha memperkasa program Kebun Dapur yang kini mula menunjukkan hasil positif khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, promosi Kebun Dapur sejak beberapa bulan lalu turut menyaksikan terdapat penduduk kampung dan petani mula mencuba penanaman padi tanah kering di sekitar rumah masing-masing.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Pertanian sebelum ini telah menjalankan kajian terhadap beberapa varieti padi yang sesuai ditanam tanpa memerlukan penggunaan air yang banyak.

“Hasil kajian itu akan dimanfaatkan bagi memperluaskan lagi pelaksanaan tanaman berkenaan di seluruh negeri,” katanya.

Menurut Jamawi, usaha berkenaan penting memandangkan Sabah masih bergantung tinggi kepada import beras yang dianggarkan mencecah sekitar 80 peratus.

“Apabila berlaku krisis global seperti konflik atau kenaikan kos pengangkutan, bekalan makanan boleh terjejas. Jadi kita perlu bersiap sedia dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata, tanaman padi tanah kering juga sesuai dilaksanakan di kawasan kategori K3 yang bergantung sepenuhnya kepada air hujan dan tidak mempunyai sistem pengairan lengkap.

Mengulas lanjut, Jamawi berkata, kementerian turut mengarahkan semua agensi berkaitan supaya mempergiat usaha mencari pendekatan baharu bagi memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi.

Katanya, selain padi, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap pengeluaran makanan ternakan seperti jagung bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Ini antara inisiatif yang akan kita terus perkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keterjaminan makanan negeri sentiasa terpelihara,” katanya.

Comment