KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu enam daripada 42 rakaman audio perbualan antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan ibunya, Noraidah Lamat, diperdengarkan sepanjang prosiding inkues berlangsung.
Rakaman audio berdurasi sehingga empat minit itu antaranya memaparkan luahan kasih sayang dan kerinduan Allahyarham terhadap ibunya selain aduan berkaitan kehilangan wang.
“Bye sayang, cinta rindumu, muah, I love you,” kata Zara Qairina dalam salah satu rakaman, sebelum dijawab Noraidah dengan ungkapan, “I love you Ra, bye Ra.”
Peguam yang mewakili Noraidah, Shahlan Jufri, berkata hanya beberapa rakaman dipilih untuk diperdengarkan kerana keseluruhan bahan audio mengambil masa hampir dua jam.
Beliau kemudian menyoal saksi ke-70 inkues, Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM), ASP Mohamad Zaidi Abu Hassan, sama ada rakaman berkenaan pernah diekstrak ketika analisis dilakukan terhadap barang kes yang ditandakan sebagai ‘WK11’.
Mohamad Zaidi, 44, berkata beliau hanya mengekstrak rakaman perbualan daripada aplikasi WhatsApp dan rakaman yang dimainkan di mahkamah tidak dapat dikeluarkan menerusi perisian analisis digunakan.
“Rakaman perbualan ini saya hanya mengekstrak rakaman perbualan daripada WhatsApp dan ia tidak dapat dikeluarkan daripada perisian analisa saya,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Beliau berkata, hasil analisis yang dilakukan tidak menemukan rakaman perbualan antara Zara Qairina dan ibunya kerana proses itu hanya tertumpu kepada audio WhatsApp serta audio daripada media sosial lain.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan rakaman audio yang diperdengarkan di mahkamah adalah tulen.
Katanya, sekiranya analisis semula dijalankan, proses itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat jam selain perlu melalui prosedur penyediaan laporan yang ditetapkan.
Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos tahun lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Terdahulu, pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara turut mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Prosiding inkues bersambung esok.

