Gajah Pygmy ditemui tanpa gading di Hutan Simpan Sungai Pinangah
17:05 May 19, 2026  |  By SabahKini2
Gajah Pygmy ditemui tanpa gading di Hutan Simpan Sungai Pinangah

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin, berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

TONGOD: Seekor Gajah Pygmy Borneo ditemukan mati dalam keadaan mengerikan di kawasan hutan nurseri Hutan Simpan Sungai Pinangah, dipercayai menjadi mangsa jenayah hidupan liar.

Haiwan dilindungi itu ditemui dengan bahagian muka dan mulut dipotong, manakala gadingnya dipercayai telah diambil pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin, berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, Jabatan Hidupan Liar Sabah menerima laporan mengenai penemuan bangkai gajah itu kira-kira 8.25 pagi semalam sebelum sepasukan pegawai dihantar ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati pada petang sebelumnya, kakitangan ladang berhampiran terdengar bunyi kuat menyerupai letupan, namun pemeriksaan tidak dapat dilakukan segera berikutan hujan lebat sepanjang malam,” katanya dalam kenyataan.

Keesokan paginya, pengurus ladang bersama kakitangan melakukan pemantauan sebelum menemukan bangkai seekor gajah jantan setinggi kira-kira 2.9 meter.

Pemeriksaan awal mendapati bahagian muka dan mulut haiwan itu dipotong menggunakan objek tajam berbentuk huruf “L”, manakala gadingnya dipercayai telah dipotong dan dibawa lari.

Jafry berkata, setakat ini tiada kesan tembakan ditemui pada badan haiwan berkenaan, namun bedah siasat masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Katanya, keadaan hujan lebat ketika kejadian turut menyukarkan usaha mengesan jejak dan bahan bukti di lokasi.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mengesahkan berlaku aktiviti pemburuan haram atau pemotongan gading secara tidak sah,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu pihak berkuasa.

Comment