KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah menyatakan hasrat agar bedah siasat tidak dilakukan terhadap jenazah anaknya.
Saksi pendakwaan ke-71, Nur Shira Abdullah, berkata Noraidah Lamat memaklumkan perkara itu secara peribadi ketika mereka berada di wad hospital tanpa kehadiran pelawat lain.
Menurutnya, Noraidah menyatakan beliau tidak mahu anaknya “disakiti” atau “dibedah”.
“Perkara itu disampaikan kepada saya di dalam wad ketika tiada pelawat lain. Kami tidak pernah membincangkan soal bedah siasat di kawasan awam,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-69 inkues kematian Zara.
Zara, 13, meninggal dunia pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Nur Shira berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah berhubung keterangan beberapa guru sebelum ini yang mendakwa terdengar ibu saudara Zara menolak bedah siasat, manakala datuk mangsa dikatakan bersetuju kerana tidak mahu remaja itu dibedah.
Saksi yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut memaklumkan beliau tidak dapat berkomunikasi dengan datuk Zara disebabkan halangan bahasa dan menyifatkan agak pelik sekiranya lelaki berkenaan ada bercakap mengenai perkara tersebut.
Dalam keterangannya, Nur Shira turut menafikan bahawa pihak keluarga pernah diberikan penjelasan oleh doktor mengenai kepentingan prosedur bedah siasat.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan pihak sekolah ada mencadangkan supaya jenazah Zara dibawa ke SMKA Tun Datu Mustapha bagi memberi peluang penghormatan terakhir.
Katanya, cadangan berkenaan disampaikan pengetua sekolah melalui seorang ustazah.
“Saya beritahu suami saya, anak kami bukannya anak kucing untuk dibawa ke sana sini bagi tontonan.
“Kalau mereka mahu beri penghormatan terakhir, sewa bas dan pergi ke Sipitang,” katanya.

