KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyalurkan insentif kemenangan sukan berjumlah RM383,116 kepada 57 atlet negeri yang memenangi pingat pada temasya Sukan SEA dan Para ASEAN di Thailand tahun lepas.
Daripada jumlah itu, RM146,500 diperuntukkan sebagai insentif kemenangan bagi atlet Sukan SEA manakala RM236,616 lagi kepada atlet Para ASEAN.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian atlet Sabah yang berjaya mengharumkan nama negara pada kedua-dua temasya berkenaan.
“Kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua atlet negeri Sabah yang mengambil bahagian dan mencipta kemenangan pingat pada temasya Sukan SEA dan Para ASEAN di Thailand.
“Diharapkan insentif ini menjadi pembakar semangat untuk atlet Sabah terus melangkah lebih jauh dan mencapai tahap lebih tinggi,” katanya pada majlis penyampaian insentif kemenangan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Pada temasya Sukan SEA Thailand, seramai 91 atlet Sabah mewakili negara dan membantu kontinjen Malaysia meraih lima pingat emas, 14 perak dan 11 gangsa.
Bagi temasya Para ASEAN pula, 22 atlet para dari Sabah berjaya menyumbang 14 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa kepada negara.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih dan keluarga atlet yang disifatkannya sebagai tunjang utama kejayaan atlet negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri turut berbangga dengan pencapaian dua atlet para dari Tuaran iaitu perenang Abdul Halim Mohammad dan atlet olahraga Ivan Jovic Suan yang menjadi penyumbang utama pingat Sabah pada temasya Para ASEAN.
Abdul Halim memenangi lima pingat emas dalam acara individu dengan mencipta empat rekod baharu selain menyumbang satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara berpasukan.
Beliau yang turut dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia pada Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia menjadi penerima insentif terbesar pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Ivan mencipta kejutan apabila meraih tiga pingat emas dan satu rekod baharu dalam acara pecut walaupun baru berusia 18 tahun.

