Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara 96 tahun, denda RM284.3 juta dalam kes pengubahan wang haram
18:05 May 19, 2026  |  By SabahKini2
Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara 96 tahun, denda RM284.3 juta dalam kes pengubahan wang haram

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat hari ini menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 96 tahun serta denda berjumlah RM284.3 juta terhadap bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah itu.

KOTA KINABALU: Ag Mohd Tahir Mohd Talib akhirnya dijatuhi hukuman berat selepas Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu mensabitkan beliau atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit hasil aktiviti haram.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat hari ini menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 96 tahun serta denda berjumlah RM284.3 juta terhadap bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah itu.

Jika gagal membayar denda tersebut, Ag Mohd Tahir yang kini berusia 63 tahun boleh dikenakan tambahan hukuman penjara selama 78 bulan.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun serta denda antara RM5 juta hingga RM120 juta. Namun mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Walaupun disabitkan bersalah, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut mengekalkan syarat jaminan sedia ada yang diberikan sejak tertuduh mula didakwa pada tahun 2016, iaitu jaminan RM2 juta dengan RM100,000 dibayar secara tunai manakala baki RM1.5 juta dijamin menggunakan hartanah.

Mahkamah Tolak Pembelaan “Afterthought”

Dalam penghakimannya, hakim memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, khususnya berkaitan elemen utama pengubahan wang haram di bawah Akta AMLA.

Mahkamah berpendapat penjelasan yang diberikan Ag Mohd Tahir semasa pembelaan hanyalah “afterthought” atau alasan yang difikirkan selepas serbuan besar-besaran dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim menyatakan alasan yang diberikan tidak mencukupi untuk menolak keterangan saksi-saksi pendakwaan serta bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Isteri Dan Bekas Timbalan Pengarah Dibebaskan

Dalam perkembangan sama, isteri beliau, Fauziah Piut, 61, serta bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng, 72, dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Mahkamah memutuskan tidak selamat untuk mensabitkan kedua-dua mereka berdasarkan bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Fauziah turut dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan bersama Ag Mohd Tahir selepas mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan elemen niat bersama.

Kes Bermula Sejak 2016

Ketiga-tiga tertuduh mula didakwa pada 29 Disember 2016 selepas operasi besar-besaran SPRM yang mengejutkan negara apabila wang tunai, barang kemas, aset mewah dan pelbagai dokumen kewangan ditemui dalam beberapa serbuan berkaitan skandal Jabatan Air Sabah.

Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLA serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Kesalahan didakwa berlaku di beberapa lokasi termasuk pejabat Jabatan Air Sabah, rumah di Sembulan, kondominium di Sulaman, beberapa bank serta sebuah menara korporat di Kuala Lumpur antara Oktober hingga November 2016.

Perbicaraan yang bermula pada Mei 2018 menyaksikan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi.

Ketika pembelaan, Ag Mohd Tahir turut memanggil beberapa tokoh berprofil tinggi termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri negeri Raymond Tan Shu Kiah sebagai saksi.

Skandal Yang Menggegarkan Sabah

Kes Jabatan Air Sabah pernah dianggap antara skandal rasuah dan pengubahan wang haram terbesar dalam sejarah Sabah selepas SPRM menemui wang tunai puluhan juta ringgit dalam operasi serbuan pada 2016.

Untuk rekod, seorang lagi bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Teo Chee Kong, sebelum ini turut didakwa atas 146 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM32.9 juta.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum SPRM mengenakan kompaun RM30 juta terhadapnya dan menjadikannya saksi pendakwaan dalam kes utama ini.

Comment