Masidi mahu UPPM perkasa penyampaian dasar kerajaan
16:05 May 20, 2026  |  By SabahKini2
Masidi mahu UPPM perkasa penyampaian dasar kerajaan

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kakitangan yang dilantik perlu melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan penuh integriti selain sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan setiap dasar serta program pembangunan dapat disampaikan secara berkesan di peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kakitangan yang dilantik perlu melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan penuh integriti selain sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

“Kakitangan yang dilantik perlu memastikan segala dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat pada sesi penyerahan watikah jawatan UPPM Karanaan Ranau di pejabatnya, di sini.

Antara yang menerima pelantikan ialah Pemimpin Kemajuan Masyarakat (CDO), Mohd Syukri Saridih dan Penyelia Kemajuan Masyarakat, Georgie Tham Soon Kong.

Turut dilantik sebagai Pemaju Mukim ialah Mohd Radzi Shah Junaidi, Adlyzan Jasirin, Jardern J Saliun, Jorius Aban, Jasni Harun dan Rudolf Bidi.

Sementara itu, jawatan Pemaju Masyarakat disandang Sitimeh Jimin, Nurul Syakirah Shahira dan Mohd Amirul Junaidi.

Yang turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan, Suhaimi Manjun.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, semua kakitangan perlu mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam melaksanakan tugas demi memastikan pembangunan di kawasan itu terus diperkasakan.

Beliau turut mengingatkan kakitangan UPPM supaya sentiasa menepati masa dan melaksanakan tugas dengan penuh disiplin bagi mengelakkan kelewatan urusan kerja sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilakukan secara lebih cekap dan berkesan.

“Kerajaan negeri sentiasa komited meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing supaya setiap usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Comment