Hajiji mahu sistem pentadbiran adat Sabah lebih moden, teratur
16:05 May 20, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji mahu sistem pentadbiran adat Sabah lebih moden, teratur

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Mahkamah Anak Negeri telah dibina di beberapa daerah termasuk Tongod, Putatan, Nabawan, Papar, Tamparuli dan Sook.

TONGOD: Kerajaan Sabah meneruskan usaha memperkukuh institusi Adat Anak Negeri menerusi pembinaan mahkamah adat dan penambahbaikan sistem pentadbiran selaras agenda Sabah Maju Jaya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Mahkamah Anak Negeri telah dibina di beberapa daerah termasuk Tongod, Putatan, Nabawan, Papar, Tamparuli dan Sook.

Beliau berkata, beberapa lagi projek baharu kini dalam proses tender di Kota Kinabalu dan Paitan.

“Kerajaan negeri bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan fizikal, tetapi turut menitikberatkan pengukuhan institusi rakyat termasuk Mahkamah Anak Negeri sebagai wadah penting memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah,” katanya ketika merasmikan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod hari ini.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, kerajaan negeri mahu memastikan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri lebih jelas selain sistem pentadbiran yang lebih mantap dan disokong pegawai berintegriti.

Menurutnya, prosedur pentadbiran adat juga perlu diperkemas supaya lebih moden dan teratur bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih berkesan.

Beliau turut menghargai peranan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung yang disifatkan sebagai penghubung penting antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod yang mula beroperasi awal tahun ini dijangka meningkatkan kecekapan perkhidmatan kehakiman adat di daerah itu.

“Institusi adat tidak boleh dilihat sekadar warisan lama, tetapi perlu terus diperkukuh sebagai institusi relevan dalam menjaga keharmonian masyarakat, menyelesaikan pertikaian adat serta memperkukuh kestabilan sosial negeri,” katanya.

Mengulas pembangunan Tongod, Hajiji berkata daerah itu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan ekopelancongan, termasuk kawasan Imbak Canyon yang kaya dengan biodiversiti unik.

Beliau berkata, cadangan pembangunan pekan baharu seluas 1,000 ekar melalui kerjasama kerajaan negeri dan swasta mampu membawa transformasi pembangunan kepada daerah berkenaan.

Comment