KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah menerusi beberapa siri serbuan di Semporna, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM3.25 juta.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, cecair tetrahydrocannabinol (THC), ganja dan serbuk ekstasi.
Beliau berkata dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di sebuah taman perumahan di Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna pada 3 Mei lepas.
“Hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak mengandungi vape dan cecair disyaki dadah jenis THC.
“Rampasan membabitkan 10,000 kartrij vape pelbagai jenis dianggarkan seberat 20 kilogram serta dua botol gelen mengandungi cecair disyaki THC seberat 11 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini.
Jauteh berkata jumlah keseluruhan rampasan bagi kes itu dianggarkan seberat 31 kilogram dengan nilai kira-kira RM93,000.
Beliau berkata siasatan lanjut membawa kepada beberapa lagi serbuan susulan di Kota Kinabalu dan Tawau yang membawa kepada penahanan tiga individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, Jauteh berkata JSJN Sabah turut menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran syabu dan serbuk ekstasi menerusi operasi di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang bermula 11 Mei lepas.
Beliau berkata dua lelaki ditahan kira-kira 7 malam di kawasan parkir Plaza 88 Kepayan ketika berada di dalam sebuah kenderaan sedan.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua bungkusan disyaki syabu seberat dua kilogram.
“Soal siasat lanjut membawa kepada penemuan 50 lagi bungkusan disyaki syabu seberat 50.95 kilogram di sebuah bilik sewa di Plaza Grand Millennium, Penampang,” katanya.
Jauteh berkata serbuan susulan di sebuah bilik sewa di Penampang turut menemukan 10 kilogram syabu serta dua paket serbuk ekstasi.
Beliau berkata beberapa lagi individu termasuk seorang wanita kemudian ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan ketua sindiket yang masih diburu polis.
“Polis turut menahan seorang lelaki dipercayai pembantu ketua sindiket ketika cuba melarikan diri ke Lawas, Sarawak melalui Pos CIQ Sindumin.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes ini membabitkan 63.18 kilogram dadah termasuk syabu, serbuk ekstasi dan ketamin dengan nilai dianggarkan RM3.16 juta,” katanya.
Beliau berkata semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

