JKDM Sabah tumpas sindiket dadah, rampasan lebih RM3 juta
16:05 May 20, 2026  |  By SabahKini2
JKDM Sabah tumpas sindiket dadah, rampasan lebih RM3 juta

Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan terbesar membabitkan 57.27 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM2.86 juta menerusi Ops Tuai pada 11 Mei lalu.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menggagalkan cubaan pengedaran dadah bernilai lebih RM3 juta menerusi tiga rampasan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Tawau dan Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan terbesar membabitkan 57.27 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM2.86 juta menerusi Ops Tuai pada 11 Mei lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1.35 petang itu, pegawai bertugas menjalankan pemeriksaan bagasi sebelum imej imbasan mengesan kandungan mencurigakan pada empat bagasi di Gudang Pos Aviation.

“Pasukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau kemudian menjalankan pemeriksaan fizikal dan menemukan 142 beg plastik kedap udara berzip mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 57.27 kilogram dengan nilai RM2,863,500,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyembunyikan dadah dalam beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam bagasi untuk dihantar ke Tawau.

Dalam kes berasingan, katanya, Cawangan Narkotik JKDM Sabah turut merampas satu bungkusan mengandungi 4,678 gram methamphetamine bernilai RM233,900 di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu pada hari yang sama.

“Rampasan dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari sebelum bungkusan itu dibawa ke Wisma Penguatkuasaan Sabah untuk siasatan lanjut.

“Sindiket dipercayai menyembunyikan dadah dalam bungkusan berwarna putih sebelum dimasukkan ke dalam kotak dan dihantar ke Semporna melalui perkhidmatan kurier,” katanya.

Sementara itu, satu lagi rampasan pada 8 Mei lalu membabitkan 375 gram pil ekstasi bernilai RM56,250 di lokasi sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan berkenaan dilabel sebagai set barangan elektronik bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

JKDM Sabah, katanya, akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah di negeri ini.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran.

Comment