Sabah fokus naik taraf jalan, ekonomi Tongod di bawah pelan SMJ
19:05 May 20, 2026  |  By SabahKini2
Sabah fokus naik taraf jalan, ekonomi Tongod di bawah pelan SMJ

Beliau berkata, dalam tempoh setahun lalu hingga pertengahan tahun ini, Tongod merekodkan perkembangan ketara melibatkan infrastruktur, ekonomi, pendidikan serta potensi pelancongan.

TONGOD: Kerajaan Sabah memberi jaminan bahawa daerah Tongod tidak akan tercicir daripada arus pembangunan negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, dalam tempoh setahun lalu hingga pertengahan tahun ini, Tongod merekodkan perkembangan ketara melibatkan infrastruktur, ekonomi, pendidikan serta potensi pelancongan.

“Kerajaan komited memperkasakan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi meningkatkan mobiliti rakyat serta merancakkan ekonomi setempat,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod 2026.

Hajiji berkata, Tongod mempunyai kelebihan dari segi keluasan tanah yang sesuai untuk pembangunan pertanian moden, sekali gus membuka ruang kepada rakyat beralih daripada pertanian sara diri kepada pertanian komersial.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai insentif bagi meningkatkan pendapatan isi rumah melalui sektor berkenaan.

Dalam masa sama, beliau berkata pembangunan modal insan terus diberi perhatian menerusi pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran, khususnya bagi golongan muda di kawasan pedalaman.

“Hajiji mahu anak muda Tongod merebut peluang melanjutkan pengajian dan latihan kemahiran kerana mereka adalah pemimpin masa depan negeri,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Kawasan Konservasi Kanyon Imbak sebagai antara khazanah alam berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai hab eko-pelancongan lestari.

Katanya, kedudukan Tongod di tengah Sabah turut menjadikannya sebagai “The Heart of Sabah” yang menghubungkan wilayah utara, selatan, timur dan barat negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata pembangunan pelancongan perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar serta budaya tempatan termasuk kraftangan, makanan tradisi dan inap desa.

Mengenai isu bekalan air, Hajiji berkata masalah itu akan diselesaikan melalui projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Katanya, lebih RM4 bilion diperuntukkan tahun ini selepas kerajaan Persekutuan menyerahkan pelaksanaan projek berkenaan kepada kerajaan negeri.

“Kerjasama antara negeri dan Persekutuan penting. Kita tidak boleh bergaduh kerana pembangunan Sabah masih memerlukan sokongan Persekutuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata sebuah syarikat swasta akan membangunkan pekan baharu Tongod di atas tanah milik mereka, termasuk pembinaan pejabat kerajaan.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan 239 geran tanah adat (NT) di bawah Program PANTAS melibatkan keluasan 583.38 hektar kepada penduduk setempat.

Comment