UMS hantar 24 pelajar sertai program mobiliti antarabangsa
22:05 May 21, 2026  |  By SabahKini2
UMS hantar 24 pelajar sertai program mobiliti antarabangsa

Dekan FPKS UMS, Mohd Dahlan A Malek berkata, program mobiliti antarabangsa itu menjadi platform penting dalam melahirkan graduan lebih berdaya saing dan memiliki perspektif global.

KOTA KINABALU: Seramai 24 pelajar Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), Universiti Malaysia Sabah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa ke Indonesia baru-baru ini bagi memperluas pengalaman akademik dan meningkatkan kompetensi global mahasiswa.

Program selama seminggu di Bandung itu melibatkan kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi Indonesia termasuk Universitas Pendidikan Indonesia, Universitas Jenderal Achmad Yani, Universitas Pasundan dan Politeknik Kesejahteraan Sosial Bandung.

Dekan FPKS UMS, Mohd Dahlan A Malek berkata, program mobiliti antarabangsa itu menjadi platform penting dalam melahirkan graduan lebih berdaya saing dan memiliki perspektif global.

Menurutnya, pendedahan di peringkat antarabangsa membantu mahasiswa membina keyakinan diri selain memahami budaya serta sistem pendidikan negara lain.

“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk keluar daripada zon selesa, memahami budaya negara lain serta membina hubungan antarabangsa yang bermanfaat untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Delegasi FPKS itu terdiri daripada pelajar Program Psikologi Industri dan Organisasi yang diketuai Pengarah Program, Fasyalinda Sarbi.

Sepanjang berada di Indonesia, peserta mengikuti pelbagai aktiviti akademik dan kebudayaan termasuk sesi perkongsian ilmu, pembentangan akademik, lawatan institusi serta program pertukaran budaya bersama mahasiswa tempatan.

Delegasi turut mengadakan lawatan ke Radio Republik Indonesia bagi memahami peranan media dan penyiaran dalam masyarakat setempat.

Sementara itu, Fasyalinda berkata, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa melihat dunia luar daripada perspektif lebih luas selain membina jaringan akademik rentas negara.

“Program ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antarabangsa antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia pada masa hadapan,” katanya.

Turut menyertai program itu ialah dua pensyarah pengiring, Muhammad Idris Bullare dan Lailawati Madlan.

Comment