Sabah perkukuh tadbir urus kesihatan selaras keperluan semasa
22:05 May 21, 2026  |  By SabahKini2
Sabah perkukuh tadbir urus kesihatan selaras keperluan semasa

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata langkah itu bertujuan memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan autonomi kesihatan negeri selaras keperluan semasa.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang memperhalusi beberapa cadangan pembaharuan penting dalam sektor kesihatan negeri termasuk pindaan Ordinan Kesihatan Awam (PHO), penerimaan Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) serta penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan Negeri.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata langkah itu bertujuan memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan autonomi kesihatan negeri selaras keperluan semasa.

Katanya, perkara berkenaan menjadi fokus utama Bengkel Kesihatan anjuran kementeriannya yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan sektor kesihatan di sini, semalam.

“Bengkel ini diadakan bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada semua pihak sebelum sebarang cadangan dibawa ke peringkat Kabinet Negeri serta platform berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika merasmikan bengkel itu.

Julita berkata, pendekatan ‘team government’ perlu dijadikan asas dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negeri tanpa menjejaskan peranan mana-mana agensi sedia ada.

“Kita bukan mahu mengambil alih tugas sesiapa, tetapi mahu memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan secara bersama sebagai satu pasukan.

“Semua pandangan yang dikumpulkan akan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat pembuat dasar termasuk Kabinet Negeri dan jawatankuasa berkaitan,” katanya.

Menurut beliau, antara perkara yang dibincangkan termasuk status pindaan PHO, penerimaan Akta 371 serta cadangan penubuhan majlis atau jawatankuasa khas kesihatan negeri.

Katanya, Sabah juga melihat keperluan memperkukuh aspek perundangan kesihatan awam termasuk isu fluoridasi dan pengurusan pembetungan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Beberapa cadangan berkaitan PHO dijangka dibawa untuk perbincangan lanjut bersama kementerian serta jawatankuasa teknikal MA63 dalam masa terdekat sebelum dimuktamadkan di peringkat lebih tinggi.

“Kalau perlu ke Kabinet, kita akan bawa ke Kabinet. Jika perlu ke Dewan Undangan Negeri, kita akan laksanakan demi kepentingan Sabah,” katanya.

Bengkel sehari itu turut disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), persatuan profesional dan NGO berkaitan sektor kesihatan

Comment