Diari mangsa jadi rujukan utama penilaian mental Zara Qairina
22:05 May 21, 2026  |  By SabahKini2
Diari mangsa jadi rujukan utama penilaian mental Zara Qairina

Pakar perunding psikiatri forensik Hospital Mesra Bukit Padang, Dr Chua Sze Hung berkata, konflik itu hanya diklasifikasikan sebagai faktor pendorong atau tidak langsung dalam penilaian psikiatri kes berkenaan.

KOTA KINABALU: Konflik yang didakwa berlaku antara pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dan ibu bapanya bukan faktor langsung yang membawa kepada kematiannya, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Pakar perunding psikiatri forensik Hospital Mesra Bukit Padang, Dr Chua Sze Hung berkata, konflik itu hanya diklasifikasikan sebagai faktor pendorong atau tidak langsung dalam penilaian psikiatri kes berkenaan.

Menurut beliau, faktor langsung yang dikenal pasti ialah tekanan akibat soal siasat serta pengasingan yang didakwa berlaku pada pagi dan malam kejadian.

“Saya ingin menegaskan bahawa konflik yang dianggap berlaku antara anak dan ibu bapa bukanlah faktor langsung dalam kes ini.

“Pada pandangan saya, faktor langsung ialah soal siasat yang memberi tekanan dan pengasingan yang berlaku pada waktu pagi dan malam insiden,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Beliau menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus.

Dr Chua turut menjelaskan bahawa interaksi lisan semata-mata kurang tepat untuk menilai keadaan mental remaja kerana golongan itu cenderung menyembunyikan tekanan emosi demi menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

Sebaliknya, katanya, diari peribadi lebih mencerminkan keadaan sebenar seseorang kerana bebas daripada pengaruh sosial dan tekanan interpersonal.

“Diari adalah gambaran diri yang sebenar dan tulen, bebas daripada tekanan serta penilaian sosial, psikologi dan interpersonal.

“Ia mencerminkan keadaan diri seseorang yang sebenar-benarnya,” katanya.

Ketika disoal balas peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu mangsa, Dr Chua mengakui ini kali pertama beliau mendengar 35 rakaman audio perbualan antara mangsa dan ibunya dari 6 Mac hingga 10 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berpendapat komunikasi lisan kurang signifikan berbanding kandungan diari mangsa dalam menilai hubungan mereka.

Pada masa sama, Dr Chua mengakui rakaman itu mungkin mengandungi momen kasih sayang yang tulen dan konflik antara anak serta ibu bapa lazimnya berlaku secara episodik.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa pasukannya enggan meneliti video, gambar dan rakaman audio yang ditawarkan ibu mangsa serta peguamnya ketika sesi temu bual dijalankan.

Sebaliknya, beliau berkata maklumat sedia ada termasuk diari mangsa dianggap mencukupi untuk tujuan penilaian psikiatri.

Zara Qairina Mahathir meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.

Pada 8 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara mengarahkan kubur mangsa digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua sebelum inkues diarahkan dijalankan pada 13 Ogos tahun sama selepas penelitian terhadap laporan siasatan polis.

Prosiding inkues bersambung esok.

Comment