RANAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini.
Menterinya, Armizan Mohd Ali, berkata skim selama sembilan hari itu membabitkan 17 jenis barangan terkawal meliputi 12 jenis barangan di Sabah dan Sarawak serta 11 jenis barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata, pelaksanaan skim itu mengambil kira kepentingan pengguna dan komuniti peniaga bagi memastikan pengguna menikmati harga berpatutan tanpa membebankan peniaga dengan tempoh pelaksanaan terlalu panjang.
“Bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, kementerian mengenal pasti 12 jenis barangan berbanding 10 barangan pada tahun lalu.
“Dua barangan baharu yang dimasukkan ialah halia tua import dan ubi kentang dari China,” katanya pada sidang media pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 di Kundasang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, bagi sambutan Hari Gawai di Sarawak pula, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 barangan pada tahun lalu dengan tambahan satu barangan baharu iaitu daging kerbau import dari India.
Katanya, penentuan jenis dan harga maksimum dibuat menerusi perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi berkaitan serta pemain industri.
“Bagi Sabah, antara barangan yang dikawal ialah babi hidup, daging babi, daging kerbau import, kepak ayam, cili kering keriting, bawang, halia tua import dan ubi kentang dari China.
“Di Labuan pula, 11 jenis barangan disenaraikan termasuk daging babi, kepak ayam, cili kering keriting, bawang, halia tua import dan ubi kentang,” katanya.
Mengulas trend harga semasa, Armizan berkata, pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan tahun ini menunjukkan keadaan harga lebih stabil di Sabah dan Labuan.
Katanya, enam barangan di Sabah mencatat penurunan harga manakala tiga lagi kekal pada harga sama selain pengenalan dua barangan baharu.
“Trend hampir sama turut direkodkan di Labuan apabila enam barangan mengalami penurunan harga dan dua lagi kekal.
“Bagi Hari Gawai di Sarawak, antara barangan terbabit ialah ayam tua hidup, kubis bulat import, kelapa biji, kelapa parut dan santan selain beberapa barangan keperluan lain,” katanya.
Beliau berkata, analisis perbandingan harga bagi sambutan Hari Gawai tahun ini menunjukkan lima barangan mengalami penurunan harga, tiga kekal dan satu barangan baharu diperkenalkan.
Katanya, skim itu dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membolehkan penentuan harga maksimum dibuat terhadap barangan disenaraikan.
“Pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah bagi memantau pematuhan harga.
“Kita juga melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah melalui pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang serta mengamalkan perniagaan beretika,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
Menurutnya, individu yang menjual barangan melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu pula, individu boleh didenda sehingga RM10,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000,” katanya.
Armizan berkata, KPDN akan terus bekerjasama dengan KPKM dan pemain industri bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan selain menangani isu harga dan kos sara hidup rakyat.
Selain SHMMP, katanya, KPDN turut melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Payung RAHMAH termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert.

