APMM, ABF perkasa operasi bersama di perairan Sandakan
17:05 May 22, 2026  |  By SabahKini2
APMM, ABF perkasa operasi bersama di perairan Sandakan

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Mohd Zawawi Abdullah berkata, sindiket penyeludupan migran dikesan masih aktif menggunakan perairan negara berikutan kedudukan strategik Malaysia di rantau ini.

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan penahanan 4,107 migran dan 316 penyeludup di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Mohd Zawawi Abdullah berkata, sindiket penyeludupan migran dikesan masih aktif menggunakan perairan negara berikutan kedudukan strategik Malaysia di rantau ini.

Menurut beliau, warga Myanmar mencatat jumlah tertinggi migran ditahan iaitu seramai 1,932 orang, diikuti Indonesia dengan 1,727 orang dan Filipina seramai 180 orang.

“Situasi ini membuktikan ancaman penyeludupan migran masih serius dan memerlukan tindakan penguatkuasaan agresif serta berterusan di semua kawasan perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Operasi Redback 22/2026 yang dilaksanakan bersama Australian Border Force (ABF) di perairan Sandakan dari 18 hingga 22 Mei lalu.

Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Khairulanuar Ab Majid; Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Abdul Razak Mohamed; Pengarah Maritim Zon Sandakan, Muhamad Suhairy Hussain serta Kaunselor ABF ke Malaysia, Brooke Leung.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zawawi berkata, Maritim Malaysia membuka lapan kertas siasatan berkaitan kes penyeludupan migran tahun ini membabitkan penahanan 19 penyeludup dan 233 migran.

Katanya, majoriti penyeludup yang ditahan adalah warga Indonesia seramai 13 orang, diikuti Myanmar (tiga), Thailand (dua) dan seorang warga tempatan.

Bagi migran yang ditahan atau diselamatkan pula, seramai 184 orang adalah warga Indonesia, diikuti Myanmar (46) dan Bangladesh (tiga).

Beliau berkata, operasi itu turut membabitkan lima aset utama iaitu KM Pintar, KM Tebrau, Bot Banggi 14, Bot Kilat 34 dan Bot Kilat 37 selain rondaan laut, penggunaan Sea Rider, perkongsian risikan serta libat urus komuniti nelayan di Kampung Sungai Daling dan Kampung Bambangan.

Dalam pada itu, beliau berkata antara kejayaan operasi ialah rampasan 27 kotak minyak masak dalam pemeriksaan di Jeti Nelayan Kampung Pukat pada 21 Mei lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sebelum semua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut.

Mohd Zawawi berkata, operasi penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui risikan, rondaan dan kerjasama pelbagai agensi di peringkat dalam negara serta antarabangsa bagi membendung aktiviti penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan.

Comment