KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi diberkas polis selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Jalan Tuaran berhampiran Jabatan Audit, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.13 pagi itu, anggota polis bersama kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang menjalankan rondaan mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah mainhole milik syarikat telekomunikasi berkenaan.
Pemeriksaan mendapati beberapa individu sedang memotong kabel telekomunikasi di dalam mainhole sebelum mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Suspek dipercayai menggunakan sebuah pacuan empat roda dan sebuah van untuk meloloskan diri dari lokasi kejadian.
Situasi bertukar tegang apabila pemandu pacuan empat roda itu dipercayai cuba merempuh anggota polis yang menghalang laluan mereka sehingga membahayakan keselamatan petugas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, polis berjaya menahan kenderaan terbabit selepas ia terbabas berhampiran Jalan Likas dekat stesen minyak Shell Likas.
“Dua lelaki tempatan berjaya ditahan, manakala sebuah van yang dipercayai turut terlibat berjaya melarikan diri dan sedang dikesan pihak polis.
“Turut dirampas satu alat pemotong kabel yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kabel milik Telekom Malaysia telah dipotong namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan van yang melarikan diri supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau pegawai penyiasat, Inspektor Saiful Azri Ismail di talian 014-6115879.
Syed Lot berkata, polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan curi kabel kerana ia boleh menjejaskan sistem komunikasi awam dan keselamatan infrastruktur negara.

