Sabah komited lindungi alam sekitar tanpa abaikan kemajuan
17:05 May 25, 2026  |  By SabahKini2
Sabah komited lindungi alam sekitar tanpa abaikan kemajuan

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata pendekatan seimbang antara pembangunan dan perlindungan alam sekitar perlu dilaksanakan secara adil serta realistik.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memastikan pembangunan ekonomi negeri berjalan seiring dengan usaha pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian masa depan negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata pendekatan seimbang antara pembangunan dan perlindungan alam sekitar perlu dilaksanakan secara adil serta realistik.

“Inilah keseimbangan yang dicari Sabah. Inilah masa depan yang sedang dibina oleh Sabah,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sabah menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui dan usaha memperkukuh perlindungan alam sekitar, namun pada masa sama negeri itu masih memerlukan pembangunan berterusan.

Katanya, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh infrastruktur, memperluaskan kapasiti industri, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keselamatan tenaga bagi menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Tenaga bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi juga isu ekonomi dan keselamatan jangka panjang Sabah. Sebab itu kita memerlukan campuran tenaga yang seimbang dan praktikal,” katanya.

Menurut Hajiji, sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro, biojisim dan biogas akan terus diperkasakan menerusi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.

Beliau berkata, pelan itu memberi penekanan kepada pembangunan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu dimiliki dan mampan.

Pada masa sama, beliau turut membangkitkan isu keadilan ekonomi terhadap Sabah yang selama ini memainkan peranan besar dalam pemuliharaan alam sekitar negara.

Katanya, usaha memelihara hutan dan kawasan semula jadi memberi kesan ekonomi kepada negeri kerana terdapat hasil yang terpaksa dilepaskan.

“Ekosistem yang menyerap karbon dan menyokong biodiversiti bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia dan dunia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Sabah tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penyumbang modal semula jadi semata-mata, sebaliknya perlu menerima manfaat ekonomi yang setimpal.

“Perbincangan mengenai kemampanan juga perlu menyentuh soal keadilan, pengiktirafan dan pelaburan yang adil untuk Sabah.

“Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri membangun masih boleh melindungi alam sekitar sambil meningkatkan taraf hidup rakyat secara serentak,” katanya.

Comment