KOTA KINABALU: Sabah memilih pendekatan pertumbuhan seimbang dalam menangani isu pembangunan dan alam sekitar, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak mahu pembangunan yang merosakkan alam sekitar, namun pada masa sama tidak boleh menerima pendekatan idealisme hijau yang melambatkan kemajuan rakyat.
“Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan yang melulu, tetapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik.
“Jalan ke hadapan bagi Sabah ialah model pertumbuhan seimbang,” katanya pada sidang kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability World Green and Sustainability di Kota Kinabalu hari ini.
Hajiji berkata model itu menekankan pertumbuhan dengan disiplin, pemuliharaan dengan nilai, pelaburan bertanggungjawab serta peralihan tenaga yang mampu dilaksanakan dan mampan.
Beliau berkata Sabah memiliki aset yang semakin bernilai di peringkat global termasuk biodiversiti yang kaya, sumber daratan dan maritim luas, potensi tenaga, kedudukan strategik serta kestabilan politik.
Katanya, Sabah juga mempunyai generasi muda yang bersedia membentuk ekonomi masa depan.
“Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan yang luas, memelihara biodiversiti penting di peringkat global dan mengekalkan antara kadar tertinggi kawasan perlindungan di rantau ini.
“Hari ini Sabah diiktiraf sebagai pemimpin penting dalam pemuliharaan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia Tenggara,” katanya.
Menurut Hajiji, Sabah kini bergerak ke arah pemuliharaan yang mempunyai nilai ekonomi melalui pembangunan pasaran karbon yang berwibawa dan pelaburan hijau berkualiti.
Beliau berkata kerajaan negeri juga mahu memperluaskan industri tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti.
“Ia juga bermakna memastikan syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai,” katanya.
Hajiji berkata hampir 30% keluasan tanah Sabah kini berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya, membuktikan komitmen negeri itu terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemampanan perlu bersifat praktikal dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan.
“Model pembangunan yang kelihatan baik di peringkat antarabangsa tetapi melemahkan daya saing tempatan bukanlah model yang tepat untuk Sabah,” katanya.

