Sabah terus terima pulangan konsisten projek SAMUR
15:05 May 26, 2026  |  By SabahKini2
Sabah terus terima pulangan konsisten projek SAMUR

Menurut kenyataan itu, penyertaan strategik berkenaan dimeterai menerusi Perjanjian Pembelian Saham (SPA) yang ditandatangani pada 25 April 2023 melalui kerjasama komersial dengan PETRONAS.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus menerima pulangan kewangan konsisten hasil penyertaan strategik dalam projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) menerusi pegangan ekuiti dimiliki SMJ Energy Sdn Bhd.

SMJ Energy dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan negeri melalui syarikat milik penuhnya itu memiliki 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), syarikat yang memiliki dan mengendalikan kompleks SAMUR.

Menurut kenyataan itu, penyertaan strategik berkenaan dimeterai menerusi Perjanjian Pembelian Saham (SPA) yang ditandatangani pada 25 April 2023 melalui kerjasama komersial dengan PETRONAS.

Katanya, sejak perjanjian itu dimeterai, dividen daripada projek berkenaan terus disalurkan kepada kerajaan negeri melalui SMJ Energy untuk manfaat rakyat Sabah.

“Dakwaan bahawa Sabah menerima pulangan kurang daripada yang sepatutnya daripada projek SAMUR adalah tidak berasas kerana ia tidak mengambil kira usaha kerajaan negeri mendapatkan terma komersial yang menguntungkan serta kejayaan memperoleh pemilikan strategik dalam salah satu aset petrokimia utama di rantau ini.

“Penyertaan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sumber asli Sabah memberi nilai ekonomi jangka panjang kepada rakyat,” katanya.

SMJ Energy berkata, SAMUR kini diiktiraf sebagai kemudahan baja granular ‘single-train’ terbesar di Asia Tenggara dan ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik.

Menurutnya, projek yang dibangunkan menggunakan sumber gas Sabah itu turut mengukuhkan kedudukan negeri berkenaan sebagai pemain penting dalam industri baja dan petrokimia serantau.

Katanya, pembangunan projek itu turut memberi impak positif kepada Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) apabila SAMUR bertindak sebagai projek pemangkin utama yang berjaya menarik pelaburan besar ke kawasan terbabit.

“Pembangunan SOGIP turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam pelbagai sektor termasuk kejuruteraan, logistik, infrastruktur, perumahan, hospitaliti dan perkhidmatan teknikal.

“Pembangunan ini mewakili pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang semakin dirasai masyarakat di Sipitang dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Dalam pada itu, SMJ Energy menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan PETRONAS serta pemain industri lain bagi memastikan sumber asli Sabah terus menjana manfaat ekonomi mampan kepada rakyat negeri ini.

Comment