Ayam sejuk beku RM2.43 juta diikrarkan sebagai kentang, kacang pis
15:05 May 26, 2026  |  By SabahKini2
Ayam sejuk beku RM2.43 juta diikrarkan sebagai kentang, kacang pis

Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, produk berkenaan dipercayai dibawa masuk dari China dan Hong Kong sebelum dipasarkan di negara ini.

KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas 14 kontena mengandungi ayam sejuk beku yang dipercayai diikrarkan secara palsu sebagai ubi kentang dan kacang pis di Pelabuhan Sepanggar.

Rampasan hasil operasi penguatkuasaan bermula 19 Mei lalu itu membabitkan 404,232 kilogram ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM2.43 juta.

Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, produk berkenaan dipercayai dibawa masuk dari China dan Hong Kong sebelum dipasarkan di negara ini.

Menurut beliau, pemeriksaan dijalankan di Kawasan Pemeriksaan Kastam (CEA) hasil kerjasama strategik antara AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah serta pihak berkuasa pelabuhan.

“Semua kontena didapati mengandungi ayam sejuk beku yang dipercayai diikrarkan secara tidak benar.

“Barangan ini telah dipaketkan dan dipercayai sedia untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata AKPS turut mengenal pasti 12 lagi kontena yang dipercayai menggunakan modus operandi serupa dan kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa.

Kontena tambahan itu dianggarkan membawa 348,000 kilogram barangan dengan nilai dagangan kira-kira RM3.42 juta.

Comment